Premis dipecah masuk pencuri, kerugian RM3,000

0
PECAH MASUK: Rakaman CCTV menunjukkan kelibat dua individu memecah masuk ke dalam premis niaga di Sungai Plan, Bintulu awal pagi semalam.

PECAH MASUK: Rakaman CCTV menunjukkan kelibat dua individu memecah masuk ke dalam premis niaga di Sungai Plan, Bintulu awal pagi semalam.

BINTULU: Sebuah premis perniagaan di Sungai Plan kerugian sekitar RM3,000 setelah dipecah masuk oleh tiga pencuri dalam kejadian sekitar jam 1.40 pagi semalam.

Semasa kejadian, pemilik premis menjual video cakera padat (DVD) itu dikatakan tidak berada di premisnya dan pencuri memecah masuk dari pintu hadapan kedai sebelum melarikan TV LED 42 inci dan sejumlah wang yang ditinggalkan di premis itu.

Pemilik premis berharap orang awam atau mana-mana saksi yang ternampak kejadian itu agar tampil memberi maklumat bagi memudahkan siasatan dijalankan polis.

Laporan berhubung kes ini dibuat pemilik premis di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Menurut sumber, terdapat beberapa saksi ternampak kelibat beberapa individu berlegar-legar di hadapan premis sekitar jam 12.55 tengah malam itu.

Kes pecah masuk premis niaga semakin berleluasa di Bintulu sejak kebelakangan ini dan pada minggu lalu sebuah stesen minyak di Tanjung Kidurong turut dipecah masuk pencuri.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada ia dilakukan oleh individu sama atau tidak.