Reality FC tampil juara

0

Benam Permata Kota FC dengan 3-2 pada aksi final Piala ADUN Saribas

Oleh Saleman Senin //

KAMI JUARA: Reality FC meraikan kejayaan mereka bersama tetamu dan penganjur kejohanan.

KAMI JUARA: Reality FC meraikan kejayaan mereka bersama tetamu dan penganjur kejohanan.

SARIBAS: Pasukan Reality FC tampil juara Pertandingan Bola Sepak Terbuka Kampung Tuie bagi merebut Piala ADUN Saribas setelah mengecewakan Permata Kota FC dengan jaringan 3-2 pada pertembungan aksi final di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tuie di sini.

Skuad adik-beradik dari Kampung Tuie itu berjaya ke final setelah membenam tujuh pasukan lain yang beraksi menyahut cabaran kejohanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menerima suntikan ADUN Saribas, Mohamad Razi Sitam.

Kedudukan ketiga menyaksikan pasukan New Face FC terpaksa bekerja keras mengikat kedudukan sebelum penentuan sepakan penalti menerusi kemenangan 4-3 ke atas The Sinar FC pada satu lagi perlawanan perebutan tempat ketiga dan keempat.

Dengan kemenangan tersebut, pasukan juara berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala dan medal manakala naib juara menerima hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala dan medal.

Ketiga berjaya meraih wang tunai RM600 serta piala dan medal selain menerima hadiah wang tunai RM300 untuk tempat keempat.

Hadiah-hadiah pemenang disampaikan Ketua Kampung Tuie, Marekan Mohamad selesai final kejohanan tersebut.

Hadir sama Ketua Pemuda PBB Saribas, Kaunselor Suib Paie dan Pengerusi Pengelola, Sufian Omar.

Sementara itu, pengelola kejohanan merakamkan penghargaan kepada ADUN Saribas, Mohamad Razi Sitam atas sumbangan hadiah dan suntikan semangat untuk menjayakan setiap aktiviti di kawasan mereka.

“Dengan sokongan wakil rakyat yang tidak berbelah bahagi maka kami berjaya menganjurkan kejohanan ini. Terima kasih juga atas sumbangan hadiah dan segala peruntukan disumbangkan.

“Tahniah kepada penganjur bersama Pemuda PBB Saribas dan SABERKAS Kampung Tuie yang sentiasa memberi kerjasama sepanjang kejohanan dan berjaya membawa Kampung Tuie ke satu era pembangunan bola sepak yang semakin jelas dan memberi persaingan kepada mana-mana pasukan bertanding,” katanya.

Pertandingan kali ini mendapat sambutan dengan sembilan pasukan dari beberapa kampung berdekatan iaitu Kampung Manggut, Supa, Medang selain Kampung Tuie sendiri.