Tinggal dalam parit

0

Nasib sebuah keluarga gelandangan tinggal di dalam parit di Miri mendapat perhatian

Oleh Clare Cinderella //

TEMPAT BERTEDUH: Di sinilah tempat Masudi bersama isteri dan anak-anaknya tidur, dibina dua kaki tinggi dari lantai parit bagi mengelak air ketika banjir.

TEMPAT BERTEDUH: Di sinilah tempat Masudi bersama isteri dan anak-anaknya tidur, dibina dua kaki tinggi dari lantai parit bagi mengelak air ketika banjir.

MIRI: Dengan kemiskinan membelenggu, apatah lagi tanpa punca pendapatan tetap memaksa seorang lelaki membawa isteri bersama empat anaknya berusia tujuh tahun hingga sebulan lebih menumpang berteduh di dalam parit banjir bersebelahan Tamu Muhibbah di sini.

Lelaki terbabit, Masudi Abong, 52, mengakui dia tiada pilihan lain kerana tidak mampu menyediakan kediaman lebih baik untuk isteri dan anak-anaknya sejak berbulan-bulan lalu, lebih-lebih lagi dia tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarganya.

“Apabila majikan sediakan rumah penginapan, saya bawa keluarga tinggal bersama di situ, tetapi ada kalanya majikan tempat saya bekerja tidak menyediakan tempat tinggal, jadi saya tinggal di sini.

“Ada juga saya bawa isteri dan anak-anak tinggal bersama (di dalam parit banjir), ada kalanya saya hantar mereka ke rumah adik saya di Tudan Desara,” katanya yang mengakui tinggal di dalam parit itu sejak beberapa bulan lalu namun tidak tetap.

Kali terakhir Masudi bekerja secara tetap ialah sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di pusat bandar dan disediakan penginapan.

Namun selepas dia berhenti kerana malu dituduh majikannya mencuri makanan di tempat kerja, dia kembali ke kediaman di dalam parit itu semula kerana kehilangan tempat tinggal.

Isterinya, Siti Balquisha Laudin, 30, ketika ditemui Utusan Borneo bersama suami dan anak-anaknya di dalam parit berkenaan semalam memberitahu bahawa dia dan anak-anak tinggal bersama suaminya di dalam parit itu sejak Hari Raya kedua lalu.

“Saya juga kesal apabila dituduh mencuri, sedangkan ketika itu adalah bulan puasa.

“Ia adalah lebihan makanan apabila suami saya memintanya dijadikan lauk untuk makanan saya dan anak-anak, namun sebaliknya dia dituduh mencuri.

“Oleh kerana malu dengan tuduhan itu, suami saya berhenti dan kami keluar dari rumah penginapan (disediakan majikan) dan kembali semula ke sini (dalam parit),” jelasnya sebak.

PENYAYANG: Lee memberi roti yang disediakan untuk ketiga-tiga anak pasangan itu sementara menunggu ibu mereka ditemu bual oleh JKM dan TBS.

PENYAYANG: Lee memberi roti yang disediakan untuk ketiga-tiga anak pasangan itu sementara menunggu ibu mereka ditemu bual oleh JKM dan TBS.

Menurut Siti, dia mempunyai lima anak masing-masingnya berusia tujuh tahun (perempuan), lima tahun (lelaki), tiga tahun (perempuan), dua tahun (lelaki) dan yang bongsu, bayi perempuan berusia sebulan lebih yang dilahirkan pada bulan Jun lalu.

Namun, anak ketiganya berusia tiga tahun dijaga  oleh adik suaminya di Tudan Desara bagi membantu meringankan beban keluarganya dan anak sulungnya, walaupun sepatutnya belajar di tahun satu, tidak pernah berpeluang pergi ke sekolah kerana kesempitan hidup.

Masudi atau lebih mesra dipanggil ‘Sudin’, ketika ini bekerja secara sambilan memunggah perabot dengan sebuah syarikat di sini selain kerja kecil-kecilan bagi menyara keluarganya.

Semalam, khabarnya dia dipanggil sebuah agensi untuk ditemu duga bagi jawatan tukang masak sekali gus membantu memberinya peluang pekerjaan.

Menurut sumber, Masudi pernah bekerja dengan sebuah agensi kerajaan di sini pada masa dahulu namun diberhentikan dan sejak itu bertukar-tukar kerja.

Sementara itu, perkara yang menimpa keluarga tersebut menarik perhatian Menteri Muda Perhubungan merangkap ADUN Senadin Datuk Lee Kim Shin yang kemudiannya bergegas ke tempat kejadian.

Lee turut membawa bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertemu sendiri dengan keluarga tersebut untuk mendapatkan maklumat tepat, berikutan terlalu banyak spekulasi ditimbulkan di media sosial.

Lee memberitahu, beliau terkejut menerima laporan mengenai keluarga tersebut menerusi Whatsapp awal pagi semalam kerana tidak menjangka masih ada orang bergelandangan dan tinggal di dalam parit banjir terletak di belakang Tamu Muhibbah itu.

“Apabila tiba di situ, saya terus memanggil Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk menghantar kenderaan mereka bagi membawa ahli keluarga ini keluar dari parit tersebut dan diberi tempat tinggal sementara di PBSM di sini,” katanya.

Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menyiasat kenapa masih ada orang yang tinggal di dalam parit banjir di bawah jalan tersebut kerana beliau mendapati masih ada orang lain yang tinggal di situ selain keluarga tersebut.

Lee turut mengarahkan JKM menyemak dakwaan Masudi kononnya dia ada memohon bantuan daripada mereka (JKM) namun rekod dan siasatan JKM mendapati pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan daripadanya.

Bagaimanapun, JKM akan membantu keluarga tersebut bagi mendapatkan bantuan sewajarnya selepas siasatan terperinci dilakukan termasuk bantuan makanan untuk keempat-empat anaknya.

Dalam pada itu, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Miri diketuai Ketua Cawangannya Marini Juraibi semalam, turut menyampaikan bantuan sara diri segera kepada keluarga Masudi sementara menunggu proses bantuan sewajarnya.

DAIF: Beginilah keadaan gelandangan yang tinggal di bawah parit tersebut manakala di atasnya adalah jalan pintas empat lorong, menghubungkan Jalan Miri-Bintulu dengan Jalan Kubu dan Marina Parkcity.

DAIF: Beginilah keadaan gelandangan yang tinggal di bawah parit tersebut manakala di atasnya adalah jalan pintas empat lorong, menghubungkan Jalan Miri-Bintulu dengan Jalan Kubu dan Marina Parkcity.