Muhyiddin terima dan hormati keputusan PM gugurkan beliau

0

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan beliau daripada barisan Kabinet dengan hati yang terbuka.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata beliau menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota Kabinet.

“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook beliau petang semalam.

Najib, ketika mengumumkan rombakan Kabinet semalam, berkata jawatan timbalan perdana menteri itu diambil alih oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang merupakan Naib Presiden UMNO.

Muhyiddin berkata sepanjang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri, beliau telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan penuh amanah.

Selama berkhidmat, katanya, beliau sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

“Kecuali dalam isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada Kabinet, maka saya reda,” katanya.

Sebagai timbalan presiden UMNO, Muhyiddin menegaskan beliau akan sentiasa setia kepada perjuangan parti.

“Saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO,” katanya. — Bernama