Fokus nilai tambah

0

Sarawak berpotensi jadi hab proses sumber bahan mentah, lonjak ekonomi negeri

RASMI: Adenan (empat kiri), Park Yeon Cha serta yang lain menarik peralatan khas sebagai simbolik menyempurnakan upacara pecah tanah projek pembinaan loji kimia Huchem di Tanjung Kidurong, semalam.

RASMI: Adenan (empat kiri), Park Yeon Cha serta yang lain menarik peralatan khas sebagai simbolik menyempurnakan upacara pecah tanah projek pembinaan loji kimia Huchem di Tanjung Kidurong, semalam.

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Sumber bahan mentah banyak di negeri ini perlu dijadikan sebagai produk nilai tambah tinggi untuk menjadikan Sarawak hab pemprosesan sekali gus membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, Sarawak tidak harus menjadi pengeluar bahan mentah sahaja, sebaliknya perlu dijadikan hab pemprosesan produk nilai tambah melalui teknologi  dimiliki pelabur asing.

Katanya, atas dasar itu usaha menarik pelabur asing terus dipergiat untuk melabur di negeri ini.

Beliau berkata, Sarawak bercita-cita mencapai status negeri maju menjelang tahun 2020 bersama negeri-negeri lain di Malaysia.

“Ia mustahil dilakukan kerana tempoh masa mencapai status itu hanya tinggal lima tahun sahaja. Di Sarawak, formula tidak lain dengan memanfaatkan pertumbuhan industri dari sumber asli di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Loji Kimia Huchem Fine Chemical (M) Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Taekwang Industry Group dari Korea Selatan dengan pelaburan AS$1 bilion di Kawasan Perindustrian Tanjung Kidurong, semalam.

Adenan berkata, pada masa ini ekonomi Sarawak ketiga terbesar dalam negara selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Tahun 2014 menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini berjumlah RM78.6 bilion. Kita berjaya mempelbagai ekonomi dari produk berasas pertanian kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan,” jelasnya.

Ketua Menteri berkata, pada 2014 juga menyaksikan sektor perkhidmatan memberi sumbangan terbesar sebanyak 37.6 peratus diikuti sektor pembuatan (26.6 peratus), sektor kuari dan perlombongan (21 peratus), sektor pertanian (11.2 peratus) dan sektor pembinaan (3.6 peratus).

“Untuk memperkembang ekonomi kita, lebih banyak aktiviti ekonomi bernilai tambah diperlukan dalam semua sektor.  Ini boleh dicapai menerusi peralihan industrialisasi kepada aktiviti mempunyai nilai tambah tinggi, menjalankan daya pengeluaran didorong inisiatif pertumbuhan dan mengguna pakai teknologi tahap tinggi,” jelasnya.

Katanya, untuk merealisasikan perkara itu, Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan hiliran dalam sektor minyak dan gas yang dikenal pasti sebagai satu daripada 10 keutamaan industri dalam Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Ini penting memandangkan Sarawak menyumbang 26 peratus keluaran petroleum negara dan 56 peratus keluaran gas asli. Tahun 2014, sektor minyak dan gas menyumbang 44 peratus ekonomi Sarawak.

“Dalam penerimaan eksport tahun 2014, 76 peratus disumbang sektor minyak dan gas. Daripada 76 peratus itu, 55 peratus disumbang gas asli cecair (LNG) dan 21 peratus dari petroleum mentah dan produk petroleum,” katanya.

Menurutnya lagi, projek pembinaan loji kimia Huchem di Bintulu merupakan langkah terbaik  bagi industri di Sarawak yang tidak harus berpuas hati dengan pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini hanya sebagai komoditi bahan mentah untuk eksport sahaja, malah perlu dijadikan produk nilai tambah tinggi.

“Apa yang berlaku ialah aktiviti penghasilan produk nilai tambah dilakukan di luar negara menggunakan gas asli kita sebagai bahan mentah dalam industri petro kimia.

“Disebabkan itu, kita perlu memaksimum sektor minyak dan gas sebagai penyumbang ekonomi sekali gus menjadikan Bintulu sebagai hab petro kimia di Malaysia dengan mengundang syarikat petro kimia luar negara membina loji mereka di negeri ini,” katanya.

Katanya, bagi menunjukkan sokongan kuat kerajaan akan berusaha membekal gas asli yang diperlukan oleh Huchem dengan memastikan operasi Kompleks Loji Kimia Huchem di Tanjung Kidurong berjaya.

“Saya telah menulis surat dan bercakap secara peribadi dengan Perdana Menteri berhubung perkara ini. Secara dasarnya, Najib setuju Petronas membekalkan gas asli kepada Huchem berdasarkan Perjanjian Prinsip yang kita tandatangani bersama Huchem pada 1 Disember 2014,” jelasnya.

Menurut Adenan, beliau berharap Petronas memuktamadkan perjanjian induk dengan kerajaan negeri berkaitan bekalan gas asli untuk sektor tenaga dan bukan tenaga, selain menandatangani segera Perjanjian Pembekalan Gas (GSA) dengan Huchem.

“Menyegerakan usaha menandatangani GSA amat penting memandangkan Huchem dijangka mula membina lojinya pada Ogos tahun ini,” katanya sambil menambah pelaburan Huchem dalam industri petro kimia mempunyai nilai tambah tinggi akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan di negeri ini.