Kempunan hantar cucu ke sekolah

0
MALANG TIDAK BERBAU: Dua anggota paramedik sedang memeriksa keadaan mangsa di tempat kejadian.

MALANG TIDAK BERBAU: Dua anggota paramedik sedang memeriksa keadaan mangsa di tempat kejadian.

MIRI: Hasrat seorang datuk untuk menghantar cucunya ke sekolah tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Bendahara berhampiran sebuah restoran makanan segera di sini awal pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Ngui Guan Ping, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi itu, mangsa baharu sahaja keluar dari kenderaannya dan hendak melintas ke seberang jalan untuk menjemput cucunya dipercayai tinggal di kawasan berhampiran untuk dihantar ke sekolah.

Ketika menyeberang jalan, mangsa telah dilanggar sebuah kenderaan.

Difahamkan, mangsa yang merupakan seorang mandur turut bekerja di sebuah premis berhampiran tempat kejadian.

Beberapa rakan sekerja termasuk majikan mangsa melihat kejadian itu, terus meluru ke arah mangsa yang sudah terkulai kaku di tepi jalan.

Menurut beberapa rakan sekerja mangsa yang ditemui di tempat kejadian, lazimnya pada waktu sedemikian, mangsa akan menghantar cucunya ke sekolah sebelum memulakan tugas rutin.

Sementara itu, sepasukan polis dan paramedik dari Hospital Miri telah bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Manakala, pemandu dipercayai melanggar mangsa melarikan diri sejurus kejadian dan pergi ke Balai Polis Pusat Miri untuk menyerah diri.