Muhyiddin teruskan tugas Timbalan Presiden UMNO

0

Bantu Najib mantapkan parti, kukuhkan perpaduan rakyat

AKUR: Muhyiddin (tengah) bersama isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman ketika sidang media di kediamanya selepas                      digugurkan dari senarai kabinet baharu semalam. — Gambar Bernama

AKUR: Muhyiddin (tengah) bersama isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman ketika sidang media di kediamanya selepas digugurkan dari senarai kabinet baharu semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan meneruskan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO dan membantu Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memantapkan parti.

Beliau berkata walaupun tidak lagi menjadi timbalan perdana menteri, ia bukan penghalang atau kekangan kepadanya dalam menjalankan tanggungjawab kepada parti dan negara.

“Memang selama ini pun sewaktu menjadi timbalan perdana menteri dan saya adalah juga timbalan presiden parti, saya telah melaksanakan apa yang saya fikir terbaik untuk parti baik dari segi nak mengukuhkan perpaduan dalam parti, perpaduan orang Melayu dan rakyat Malaysia … melaksanakan segala dasar yang patut dilaksanakan parti dan kerajaan supaya rakyat akan terus menyokong kita,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya selepas digugurkan daripada Kabinet.

Muhyiddin bagaimanapun berkata beliau memerlukan sedikit masa dalam meran-cang agenda yang perlu di-laksanakan

“Perkara ini (digugurkan daripada Kabinet) baharu dihadapi, bagilah saya sedikit masa dan ruang untuk saya ‘compose’ balik kedudukan saya supaya saya bersikap rasional dan bertanggungjawab. Ini penting supaya apa yang akan saya lakukan pada masa akan datang ialah berdasarkan kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan setakat ini Timbalan Pengerusi BN,” katanya.

Ditanya sama ada beliau boleh bekerjasama dengan Najib, Muhyiddin berkata mengikut perlembagaan parti, Timbalan Presiden akan membantu Presiden UMNO dan anggota Majlis Tertinggi dalam mengurus-kan parti.

Katanya beliau akan me-mastikan urusan parti ber-jalan dengan baik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya ambil kira tanggungjawab itu sahaja … saya tidak harus memikirkan apa yang terjadi kepada saya, itu akan mengganggu tugas saya sebagai Timbalan Presiden.

“Sebagai Timbalan Presiden masalah yang penting bukan saya, masalah yang penting ialah berkaitan masa depan parti dan rakyat,” katanya.

Mengenai sama ada beliau akan bersama-sama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengkritik kerajaan, Muh-yiddin berkata ia tidak begitu penting.

“Saya fikir rakyat pun mahu supaya kita buat perkara yang perlu untuk negara kerana Malaysia negara yang kita cintai … Malaysia memerlukan usaha-usaha untuk membangun sebagai negara maju.

“Apapun pandangan tokoh lama kita tidak boleh ke-tepikan, beliau (Dr Mahathir) ada pandangan dan beliau masih cergas untuk berikan sumbangan,” katanya.

Mengenai kemungkinan beliau tidak akan dijemput merasmikan mesyuarat bahagian UMNO di seluruh negara, Muhyiddin berkata ia merupakan hak bahagian tersebut.

“Saya sedar mungkin di peringkat awal, banyak orang masih terkejut, saya  fikir bila keadaan sudah semakin stabil, mereka akan melihat sama ada saya perlu jalankan tugas sebagai Timbalan Presiden dengan berkesan,” katanya.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk membantu Bahagian UMNO yang memerlukan pertolongannya khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana UMNO Johor telah menyatakan tidak akan menyekatnya menjalankan tugas parti di negeri itu.

Muhyiddin juga berkata beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO seperti biasa serta tidak berasa bimbang dan terhalang. — Bernama