Pasukan bola sepak kakitangan kerajaan dipelawa sertai Liga Coneli 2015 pada 22 Ogos ini

0

MIRI: Pasukan bola sepak kakitangan kerajaan dipelawa menyertai Pertandingan Bola Sepak 11 Sebelah Liga Coneli 2015 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Ogos depan.

Pertandingan itu adalah anjuran bersama City Sports Miri dan Mutiara General Trading and Services yang hanya terbuka kepada kakitangan kerajaan sahaja.

Yuran penyertaan pertandingan RM1,000 sepasukan termasuk 18 helai jersi berjenama Coneli dan tarikh tutup penyertaan ialah pada 17 Ogos jam 5 petang.

Ia diadakan bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama, persefahaman dan interaksi yang sihat dalam kalangan peserta serta meningkatkan mutu bola sepak tempatan.

Hadiah yang ditawarkan ialah juara akan menerima wang tunai RM2,000, piala iringan dan 18 medal perseorangan sementara naib juara menerima RM1,500, 18 medal dan sebuah piala.

Tempat ketiga pula menerima sebuah piala, 18 medal perseorangan dan wang tunai RM1,000 dan penjaring terbanyak akan menerima sebuah piala.

Semua perlawanan akan diadakan di padang Stadium Miri dan Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Sebarang keterangan lanjut sila hubungi Lee Joon Siong menerusi talian 012- 8041199 atau 085-422333.