Pemberi maklumat bantu banteras penyeludupan

0

Kastam sedia peruntukan khas untuk diberi sebagai sagu hati

ROKOK SELUDUP: Dr Janathan membakar rokok seludup sebagai simbolik pada pelancaran Ops Minuman Keras dan Rokok Seludup semalam. — Gambar Bernama

ROKOK SELUDUP: Dr Janathan membakar rokok seludup sebagai simbolik pada pelancaran Ops Minuman Keras dan Rokok Seludup semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Ada pemberi maklumat menerima bayaran sagu hati mencecah RM500,000 dari Jabatan Kastam Diraja Sabah sebagai imbuhan kepada maklumat yang membantu membanteras kegiatan penyeludupan.

Pengarah jabatan itu, Datuk Dr Janathan Kandok berkata bayaran tersebut adalah bagi menghargai sumbangan penting pemberi maklumat dalam usaha membanteras penyeludupan khususnya melibatkan rokok dan minuman keras di negeri ini.

Katanya jumlah sagu hati diberikan kepada pemberi maklumat itu bergantung kepada ketepatan maklumat yang disalurkan dan nilai rampasan.

“Jabatan Kastam menyediakan peruntukan khas untuk tujuan itu dan identiti pemberi maklumat turut dirahsiakan termasuk jika kes rampasan berkenaan dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Minuman Keras dan Rokok Seludup di sini, semalam.

Janathan juga berkata maklum balas orang awam dalam menyalurkan maklumat adalah menggalakkan dan ia banyak membantu usaha membanteras kegiatan penyeludupan di negeri ini.

“Ini tidak bermaksud Jabatan Kastam sangat bergantung kepada pemberi maklumat sahaja tetapi harus diakui peranan mereka juga penting. Jabatan ini juga mempunyai unit sendiri dalam mendapatkan maklumat secara rahsia,” katanya.

Janathan berkata sejak Januari hingga kelmarin, nilai rampasan berjumlah RM8 juta dilakukan Bahagian Penguat Kuasa jabatan itu terhadap kegiatan penyeludupan di negeri ini.

Katanya kebanyakan kes itu melibatkan rokok dan minuman keras, manakala yang lain adalah kenderaan dan alat ganti kenderaan. — Bernma