Polis buru penasihat kewangan larikan RM727,489.39 wang pelanggan

0

KOTA KINABALU: Seorang penasihat kewangan di salah sebuah bank di sini dikehendaki polis selepas melarikan wang sejumlah RM727,489.39 daripada pelanggan.

Suspek dikenali sebagai Raphael Fred, 43, dikesan kali terakhir di Kampung Potuki, Penampang dan dipercayai bekerja dengan pihak bank lebih 10 tahun selain berperwatakan baik dan juga seorang pekerja yang berdedikasi terhadap tugas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, bermula 13 Mei sehingga 21 Julai lalu sebanyak 14 laporan polis dibuat iaitu sembilan laporan diterima daripada pelanggan manakala selebih lima laporan adalah daripada pihak bank terhadap suspek.

“Siasatan mendapati pelaburan ini sudah dilakukan sekitar 2009 hingga 2013, suspek mencadangkan sembilan pelanggan terbabit untuk membeli saham pelaburan yang didakwa ditawarkan pihak bank.

“Suspek akan menawarkan pelan pelaburan kepada pelanggan dan selepas dipersetujui pelanggan, namun wang yang dikeluarkan dan diterima tidak dimasukkan ke dalam rekod pelaburan yang dibeli oleh pelanggan. Suspek juga memberikan resit sebagai bukti pembelian pelanggan.

“Apabila tempoh matang yang dikatakan pada tahun ini, pelanggan yang merujuk semula pelaburan berkenaan mendapati pelaburan yang dibuat tidak mempunyai sebarang rekod dengan pihak bank.

“Berikutan itu, kesemua pelanggan membuat laporan polis secara berperingkat, manakala pengurus cawangan juga membuat laporan polis selepas memastikan kesemua pembelian pelaburan yang dikatakan tidak wujud dalam sistem bank berkenaan,” katanya.

Chandra berkata, sembilan mangsa terbabit terdiri dari empat lelaki dalam lingkungan umur 23 hingga 61 tahun dan lima perempuan berumur 47 hingga 59 tahun.

“Tahap kesedaran pelanggan berhubung pelaburan yang dibuat lewat diketahui disebabkan prinsip pelaburan yang mengambil suatu tempoh masa yang ditetapkan atau tempoh matang yang lama bagi mendapatkan pulangan.

“Merujuk kepada 14 laporan yang dibuat, polis sudah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan membabitkan jumlah kerugian yang besar,” katanya.

Chandra juga menasihatkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat suspek supaya menyalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Nur Dalila Hamzah di talian 013-6171758 atau Sarjan Muhd Efifi Irffan Mohd Salleh di talian 017-7335283 atau kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Asisten Superintenden Ruzaidi Saad di talian 016-5872944/ 088-230182.