Generasi muda perlu bijak rebut bantuan perniagaan

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa meminta generasi muda mengambil peluang daripada bantuan perniagaan disedia kerajaan bagi meningkatkan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, pelbagai jenis bantuan perniagaan disedia agensi kerajaan atau swasta bagi membantu usahawan muda sama ada mereka baharu menceburi bidang perniagaan atau yang sudah lama menceburinya.

“Ambil peluang disediakan kerajaan. Jangan duduk diam sebaliknya harus berani mencuba bidang baharu untuk memajukan diri sendiri atau keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Roadshow Keusahawanan 2015 yang berlangsung di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) di Engkilili di sini, kelmarin (Rabu).

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Keusahawanan) Datuk Mohd Naroden diberi penghormatan merasmikan majlis tersebut.

Program berkenaan merupakan anjuran Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Gagasan Badan Ekonomi Masyarakat Bumiputera Sarawak dan Majlis Pembangunan Usahawanan Bumiputera Bahagian Sri Aman.

Dr Rayong turut menasihati golongan wanita agar berani menceburi bidang perniagaan.

Beliau berkata pembabitan golongan wanita dalam dunia perniagaan dilihat amat penting bagi mempertingkat status ekonomi keluarga masing-masing.

Menurutnya, banyak jenis perniagaan sepenuh masa atau sambilan kepada mana-mana individu yang berminat untuk mencari pendapatan tambahan.

“Jadi di sini saya menggalak wanita untuk menceburi bidang ini selagi ia adalah perniagaan yang sah untuk meningkatkan pendapatan keluarga,” beliau.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak, Pengarah Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Jabatan Ketua Menteri Samad Junai dan wakil Pegawai Daerah Lubok Antu SAO Brin Musang.