Jainab harap menteri KKMM baharu tangani penyebaran berita palsu

0

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak yang baharu dilantik dapat menangani masalah penyebaran berita palsu, terutama menerusi Internet.

“Saya berharap Datuk Mohd Salleh dapat menangani masalah penyebaran berita palsu dan masalah sosial yang diwujudkan di alam maya,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Menyokong penuh pelantikan Mohd Salleh memegang portfolio itu, Jainab berkata ia berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah itu dalam dunia maya sebagai seorang blogger.

Mohd Salleh merupakan antara menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rombakan Kabinet di Putrajaya, Selasa lalu.

Jainab berkata beliau juga berharap Mohd Salleh akan segera menyelesaikan isu harga kad prabayar yang dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana ia membabitkan pengguna terutama golongan muda.

Selain Mohd Salleh, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) turut dilantik menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Jainab menyifatkan pelantikan kedua-dua menteri baharu dari Sabah itu sebagai bukti pengiktirafan kerajaan pusat kepada wakil rakyat negeri ini.

Justeru, dengan adanya dua kepemimpinan baharu itu, Jainab berharap ia akan dapat membantu memacu pembangunan negara lebih progresif dan mengutamakan kepentingan rakyat. — Bernama