JKDM Sabah rekod hasil rampasan bernilai RM8 juta

0

SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menerusi Bahagian Penguatkuasaan merekodkan hasil rampasan penyeludupan bernilai RM8 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Pengarahnya Dato’ Dr Janathan Kandok berkata, rampasan menerusi operasi yang dilaksanakan di seluruh negeri itu melibatkan komoditi seperti rokok, minuman keras, kenderaan dan alat ganti kenderaan, yang dipercayai dari negara jiran.

“Hasil yang kita dapat ini telah melebihi sasaran yang ditetapkan, bagaimanapun operasi membanteras penyeludupan akan dilakukan secara berterusan.

“Oleh itu, kita mengharapkan kerjasama pemberi maklumat daripada orang awam dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menyalurkan maklumat kepada kita berhubung sebarang aktiviti penyeludupan.

“Ia tidak bermaksud Kastam bergantung kepada mereka kerana kita juga mempunyai unit yang mendapatkan maklumat, tetapi peranan pemberi maklumat sangat penting terutama di kawasan yang jauh dari pejabat Kastam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Khidmat Bakti Masyarakat 2015 dan Majlis Pelancaran Operasi Minuman Keras dan Rokok Seludup 2015 di Kampung Batu Putih, di sini kelmarin.

Menurut Janathan, pemberi maklumat akan menerima ganjaran bergantung kepada nilai komoditi yang dirampas selain kesahihan maklumat yang diberikan.

“Kita menggalakkan JKKK dan orang awam untuk berdaftar sebagai pemberi maklumat dan setakat ini kita mendapat maklum balas yang baik. Mereka percaya dengan kita kerana identiti pemberi maklumat akan dilindungi,” jelasnya.

Program Khidmat Bakti Masyarakat berlangsung selama tiga hari dengan tujuan mewujudkan masyarakat setempat yang celik Kastam, mewujudkan rangkaian kerjasama yang berkesan dan mesra dengan masyarakat setempat serta membangunkan rangkaian pemberi maklumat berhubung aktiviti penyeludupan.

Antara pengisian program termasuk program derma darah dan pemeriksaan kesihatan, sukan rakyat dan futsal, majlis tahlil dan ceramah perdana, senamrobik, pertandingan karaoke dan malam kebudayaan selain ceramah GST dan sesi dialog bersama pelajar dan penduduk kampung.