Memang kena pada masanya Adenan raih sokongan tinggi: See

0

KUCHING: Naib Pengerusi Parti Keadilan (PKR) Sarawak See Chee How menganggap keputusan soal selidik menyaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meraih peratus sokongan tinggi daripada rakyat Sarawak kena pada masanya ketika Ketua Menteri menunjukkan beliau begitu serius memerangi rasuah di negeri ini.

“Soal selidik itu dilakukan oleh Merdeka Centre antara 10 hingga 24 April tahun ini, yang kebetulan ketika Adenan memulakan usaha menentang aktiviti pembalakan haram.

“Beliau juga mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri ketika itu, di situ beliau memberi ucapan meminta tindakan membanteras rasuah diambil dan saman dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pembalakan termasuk syarikat digelar ‘big six’.

“Jadi sudah tentu Adenan mendapat penarafan sokongan yang tinggi kerana soal selidik dijalankan ketika itu,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

See yang juga ADUN Batu Lintang berkata, untuk bersikap adil kepada Adenan, Ketua Menteri sebenarnya telah melakukan sesuatu yang sewajarnya diberi pujian.

Bagaimanapun menurutnya walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun, tiada maklumat terkini diberikan sejak tiga bulan lalu mengenai sama ada akaun-akaun tersebut masih dibekukan atau ada orang yang sudah didakwa berhubung pembalakan haram.

“Jika tinjauan dibuat sekarang, mungkin penarafan itu tidak begitu tinggi. Namun saya percaya ramai orang memberi peluang kepada Adenan.

“Mereka memberi penarafan tinggi kepadanya kerana beliau kelihatan lebih memberi ruang, lebih prorakyat dalam pendekatannya, jadi saya tidak terkejut dengan penarafan yang tinggi itu,” katanya.

Walaupun menikmati penarafan yang baik, See berkata hasil tinjauan oleh Merdeka Centre juga menunjukkan 56 peratus daripada mereka yang ditemu ramah berpendapat rasuah adalah isu yang serius di Sarawak manakala 27 peratus lagi berkata ia tidak serius.

“Salah satu soalan yang ditanya dalam tinjauan itu ialah sama ada negeri ini menuju ke arah yang betul dan ia dipersetujui 50 peratus daripada responden manakala 33 peratus tidak bersetuju.

“Mereka yang bersetuju yakin dengan siri langkah yang diambil oleh kerajaan termasuk memerangi rasuah serta pengumuman mengenai pemansuhan tol.

“Bagi mereka yang tidak setuju, sebahagiannya kerana mereka meragui sama ada KM serius atau tidak mengenai pelbagai isu termasuk pembalakan haram dan rasuah,”ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tinjauan pusat kajian bebas Merdeka Centre pada April lalu yang mendapati sebanyak 74 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Ketua Menteri selepas 14 bulan beliau memegang tampuk kuasa di negeri ini.

Mengikut laporan, daripada 606 responden yang disoal selidik, seramai 82 peratus bumiputera Islam berpuas hati dengan Adenan, diikuti bumiputera bukan Islam sebanyak 74 peratus manakala masyarakat Cina pula sebanyak 67 peratus.