Najib adakan perbincangan dengan PM Britain

0
SAMBUT KETIBAAN: Najib menyambut ketibaan Cameron sempena lawatan kerja sehari ke Malaysia di Perdana Putra di Putrajaya sebelum menghadiri mesyuarat delegasi di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

SAMBUT KETIBAAN: Najib menyambut ketibaan Cameron sempena lawatan kerja sehari ke Malaysia di Perdana Putra di Putrajaya sebelum menghadiri mesyuarat delegasi di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Britain David Cameron dipusat pentadbiran negara semalam, sempena lawatan kerja sehari beliau ke Malaysia.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata di Perdana Putra di sini sebelum menghadiri mesyuarat delegasi.

Terdahulu, Najib menyambut ketibaan Cameron di Dataran Perdana.

Perdana Menteri Britain itu dalam rangka lawatan kerja sehari ke Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatannya ke empat negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan United Kingdom.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata lawatan Cameron memperlihatkan hubungan rapat dan mesra antara Malaysia dan United Kingdom.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pertahanan serta kerjasama dalam rangka kerja Komanwel dan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Cameron ialah Perdana Menteri Britain pertama yang melawat Malaysia dalam dua penggal berturut-turut. Lawatan pertamanya pada April 2012.

Menurut laman web www.gov.uk , Perdana Menteri Britain itu diiringi 31 wakil perniagaan dari setiap daerah di negara itu dalam lawatannya ke Asia Tenggara.

Cameron turut diiringi oleh Setiausaha Negara bagi Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran Sajid Javid, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Pelaburan Lord Francis Maude, Menteri Perniagaan, Industri dan Perusahaan Kecil Anna Soubry serta Menteri Negara bagi Perolehan Pertahanan Philip Dunne. — Bernama