PBB berdepan cabaran PRN lebih berat

0
RASMI: Adenan dan isteri (lima dan enam kiri) bersama beberapa ahli Majlis Tertinggi PBB serta anggota kabinet negeri memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis. Turut kelihatan ialah Awang Tengah dan Abang Johari (lima dan enam kanan) serta Ahmad Lai (empat kiri).

RASMI: Adenan dan isteri (lima dan enam kiri) bersama beberapa ahli Majlis Tertinggi PBB serta anggota kabinet negeri memotong kek sebagai simbolik perasmian majlis. Turut kelihatan ialah Awang Tengah dan Abang Johari (lima dan enam kanan) serta Ahmad Lai (empat kiri).

Adenan minta ahli terus bersatu pastikan PBB kuat menempuh cabaran tersebut

Oleh  Clare Cinderella //

MIRI: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengingatkan ahli-ahli parti itu bahawa cabaran  bakal dihadapi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah berat berbanding sebelum ini.

Justeru Adenan yang juga Ketua Menteri Sarawak, meminta ahli parti terus bersatu bagi memastikan PBB kekal kuat menempuh cabaran tersebut sekali gus mengembalikan semula mandat Barisan Nasional (BN) agar dapat terus memperjuangkan kepentingan dan pembangunan rakyat negeri ini.

“Peranan PBB dalam pilihan raya akan datang akan lebih berat daripada sebelum ini.

“Komponen BN di Sarawak terdiri daripada PBB, SPDP, SUPP dan PRS. SUPP sudah berpecah-belah. SPDP pecah-belah. PBB ok, PRS ok.

“Rakyat hari ini mengharapkan  kita kerana kita (PBB) adalah tulang belakang negeri ini.

Bayangkan kalau tulang belakang ini patah, pasti keadaannya akan teruk,” katanya mengingatkan.

Justeru, beliau mahu semua ahli parti itu kekal bersatu dan mengelak daripada ‘berbintis’ dengan satu sama lain seperti yang terjadi dalam parti-parti lain di dalam dan luar negeri ini.

Menurut Adenan, situasi yang berlaku di Semenanjung Malaysia khususnya dalam kalangan parti politik termasuk UMNO  disifatkan oleh beliau sudah pun ‘patah’ dan saling berselisihan faham.

“Ia perlu dijadikan iktibar oleh ahli PBB dan rakyat negeri ini supaya tidak berpecah-belah dan bersengketa.

“Sebaliknya rakyat  perlu  saling bersatu padu dan hidup mesra antara pelbagai kaum seperti  diamal sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya.

Adenan memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bersama Ketua Menteri dan isteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Majlis tersebut adalah anjuran bersama PBB Parlimen Sibuti dan Miri yang merangkumi PBB daripada kelima-lima DUN Pujut, Piasau, Senadin, Lambir dan Bekenu.

Pada majlis tersebut, Adenan sekali lagi menggesa rakyat negeri ini supaya memberi sokongan penuh kepada kerajaan BN di Sarawak dan memberikan semula mandat kepada kerajaan serta satu penggal untuk beliau (sebagai Ketua Menteri) bagi membolehkan semua perancangan dan pembangunan serta perubahan yang diperlukan oleh rakyat, dapat dilaksanakan.

“Kalau kita cintakan negeri ini, kita tahu apa yang dilakukan dan anda juga tahu yang perlu anda lakukan.

“Jadi saya juga berharap dapat mandat daripada rakyat. Berikan saya lima tahun lagi,” ujar sambil mendapat tepukan gemuruh tetamu yang hadir sebagai tanda sokongan mereka.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adenan turut meluluskan peruntukan RM4 juta untuk menampung kos pembinaan Jambatan Sibuti yang bernilai RM24 juta manakala bakinya RM10 juta lagi akan diberikan pada tahun depan.

Adenan turut mengumumkan peruntukan RM2.4 juta untuk projek pembinaan Stadium Mini Bekenu, RM350,000 untuk menaik taraf Masjid Al-Mutakim, Bekenu dan RM350,000 lagi untuk menaik taraf Masjid At-Taqwa, Miri.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi, menteri-menteri kabinet negeri serta pengerusi penganjur merangkap Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang.