Sacofa dalam fasa tingkat kualiti perkhidmatan

0

Termasuk ke kawasan luar bandar, telah menggentiankan lebih 500 menara komunikasi di Sarawak

Oleh Jessica Jawing //

KOTA SAMARAHAN: Sacofa Sdn Bhd (Sacofa), syarikat yang menyediakan infrastruktur telekomunikasi kepada penyedia perkhidmatan di Sarawak kini dalam fasa meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk ke beberapa kawasan luar bandar di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sacofa Sudarnoto Osman berkata, sehingga kini mereka telah menggentiankan lebih 500 menara komunikasi di seluruh negeri termasuk kawasan terpencil seperti Bruit, Semop, Daro, Sungai Asap, Bakun dan Kapit.

“Jumlah menara yang akan disambung dengan kabel gentian optik pasti akan meningkat apabila kami mengembangkan projek ke Lawas dan Limbang pada tahun ini.

“Melalui penggentian menara ini ia membolehkan penyediaan jalur lebar berkapasiti yang seterusnya membolehkan perkhidmatan rangkaian generasi seperti 4G dan LTE berdasarkan perkongsian jalur lebar kepada semua penyedia perkhidmatan pada kadar berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Makmal Telekomunikasi UNIMAS-Sacofa yang disempurnkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi dan dihadiri Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Menurut Sudarnoto, dengan infrastruktur yang ada di seluruh negeri, Sacofa komited meluaskan perkhidmatan telekomunikasi ke kawasan yang kurang liputan sehingga penduduknya mendapat manfaat serta menikmati perkhidmatan kemudahan yang ditawarkan.

“Sehingga kini juga, kami berjaya memperluaskan perkhidmatan WiFi percuma kami (Sacofa4U) ke Kapit, Sungai Asap dan Sibu.

“Perkhidmatan ini membolehkan komuniti di kawasaan berkenaan melakukan transaksi dalam talian (online) dan melayari perkhidmatan ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk kemudahan permohonan online serta melayari pengetahuan meluas dalam dunia Internet,” tegasnya.

Selain itu, Sudarnoto berkata, perniagaan mereka kini lebih kukuh dan pelbagai apabila bergabung dengan Celcom Timur Sarawak pada 2005.

Katanya mereka kini memiliki lebih 5,000 kilometer sistem kabel gentian optik atas darat dan lautan yang  menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan sekali gus menghubungkan Kuching dengan Limbang dan Lawas merentasi Brunei menerusi TransBorneo Fibre-Optic ke Sabah selain ke negeri lain di Malaysia.

“Mungkin apabila ramai yang bercakap mengenai Sacofa, ia dikenali sebagai pembina menara telekomunikasi…ya sememangnya di mana setakat ini kami berjaya mendirikan lebih 700 menara telekomunikasi di seluruh negeri.

“Jumlah ini kian meningkat ekoran permintaan pelanggan dalam mobiliti sama ada suara atau data,” tegasnya.

Sacofa juga kini meneroka gerbang antarabangsa melalui Brunei, Indonesia dan Singapura, kata beliau.

Tambahnya lagi, dengan wujudnya perhubungan antarabangsa serta pembinaan rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi, ia akan mengubah Sarawak sebagai alternatif hab serantau.

“Ia termasuk data pengurusan perkhidmatan data penganjuran dan data perkhidmatan pusat,” katanya.