SAVA mencalonkan Dr Hii dan Lau sebagai presiden, naib presiden MAVA

0
Lau

Lau

SIBU: Persatuan Bola Tampar Sarawak (SAVA) telah mencalonkan Dr Gregory Hii dan Temenggung Vincent Lau bagi merebut jawatan presiden dan naib presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) Ke-30 di Wisma MBSA, Shah Alam pada 5 September akan datang.

Pengerusi SAVA Dr William Ting memberitahu, persatuan telah menghantar senarai nama calon itu kepada MAVA baru-baru ini, sebelum tarikh tutup pencalonan pada 8 Ogos depan.

“Kita difahamkan buat masa ini, Dr Hii dan Lau merupakan calon tunggal bagi kedua-dua jawatan tersebut.

Diharap pemilihan kali ini akan dilakukan secara telus dan adil,” ujarnya ketika dihubungi, kelmarin.

Lau merupakan presiden SAVA sementara Dr Hii selaku timbalan presiden SAVA.

Suruhanjaya Sukan Malaysia sebelum ini telah mengarahkan MAVA untuk mengadakan pemilihan semula selepas memutuskan AGM MAVA Ke-29 pada 4 Ogos 2014 tidak mematuhi pelembagaan.

Sehubungan itu, SAVA bersama persatuan bola tampar dari beberapa negeri yang bergabung di bawah MAVA telah membuat aduan dan bantahan kepada Suruhanjaya Sukan Malaysia selepas AGM itu.

Dr Hii ketika dihubungi memberitahu, beliau membuat keputusan untuk bertanding bagi membantu mengekalkan Sarawak sebagai kuasa sukan bola tampar.

“Sarawak telah menjadi kuasa sukan bola tampar untuk sekian lama dan kita berpendapat perlu ada wakil dari Sarawak dalam MAVA untuk memastikan pembangunan bola tampar di negeri ini tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Naib Presiden MAVA selama tiga penggal dari 2004 hingga 2009, pada mulanya enggan dicalonkan bagi merebut jawatan tersebut atas alasan sibuk dengan urusan perniagaan.

Namun atas desakan daripada pihak pengurusan SAVA dan Lau sendiri, Dr Hii akhirnya bersetuju untuk bertanding semula merebut jawatan presiden MAVA.