Syarikat di Sabah disaran jadi pengeksport

0

KOTA KINABALU: Syarikat perusahaan di Sabah disaran untuk mendaftar sebagai pengeksport terutamanya yang terlibat dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, sumbangan PKS kepada eksport Malaysia masih dianggap rendah dengan rekod 16.9 peratus.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan peningkatan sebanyak 25 peratus bagi sumbangan PKS dalam eksport Malaysia menjelang 2020.

“Kita percaya golongan usahawan di Sabah mempunyai potensi yang besar dengan sumber asli yang boleh diberi nilai tambah selain menerima bantuan daripada kerajaan negeri.

“Di samping itu, kita juga mempunyai permintaan bagi perkhidmatan yang dijana oleh sektor perladangan dan perdagangan serta minyak dan gas.

“Sehubungan itu, para usahawan perlu dibangunkan dengan lebih efektif kerana usahawan PKS adalah komponen penting ekonomi dan perniagaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program ‘Exporters Forum’ 2015 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Bolkiah Ismail.

Musa berkata, pihaknya dimaklumkan masih banyak lagi syarikat di Sabah yang belum mendaftar sebagai pengeksport dengan MATRADE.

Justeru, beliau menyarankan agar lebih banyak syarikat Sabah yang mendaftar sebagai pengeksport dan terlibat dengan promosi anjuran MATRADE.

“Kita tidak seharusnya bergantung kepada pasaran tempatan sahaja tetapi sebaliknya berani merebut peluang menerokai pasaran luar negara.

“Persekitaran yang kondusif untuk eksport adalah penting dalam memastikan syarikat-syarikat Malaysia berdaya saing dan bersedia meneroka pasaran global.

“Aktiviti promosi yang dijalankan oleh MATRADE juga menjadi satu pelan tindakan yang berkesan bagi syarikat-syarikat Malaysia dan perkhidmatan profesional mengekalkan eksport,” jelasnya.

Menurutnya, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia boleh memberi pengaruh yang kuat kepada produk dan perkhidmtan tempatan bagi menembusi pasaran 620 juta penduduk ASEAN.

Katanya, memaksimakan penggunaan Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) dalam perniagaan juga adalah penting supaya tidak dianggap ketinggalan.

Ia kerana jelasnya, Sabah adalah negeri keenam disenaraikan sebagai penyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mahu sebanyak 41,000 syarikat PKS yang berdaftar tahun lepas menggunakan kesempatan dan mengambil peluang untuk memasarkan produk serta perkhidmatan dengan lebih agresif.

Turut hadir, Pengerusi MATRADE Datuk Noraini Ahmad dan Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan MATRADE Wan Latif Wan Musa.