UNIMAS jadi hab latih pelatih dalam bidang rangkaian, komunikasi

0

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini menjadi hab untuk melatih pelatih dalam bidang rangkaian dan komunikasi data dengan rasminya pelancaran Makmal Telekomunikasi UNIMAS-Sacofa, semalam.

Penubuhan makmal telekomunikasi itu merupakan kerjasama UNIMAS bersama rakan industri Sacofa, yang merupakan pusat setempat ‘one-stop-centre’ berasaskan infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi di Sarawak.

Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapannya berkata, melalui kerjasama berkenaan, staf akademik di universiti berpeluang  menjalankan pelbagai kegiatan penyelidikan dan inovasi di Sacofa.

“Usaha ini secara tidak langsung dapat meletakkan UNIMAS sebagai penyumbang kepada pembangunan industri dalam bidang telekomunikasi.

“Ini juga selaras dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di negeri ini di mana memerlukan sistem perhubungan, komunikasi dan teknologi komunimasi dan maklumat (ICT) yang berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Makmal Telekomunikasi UNIMAS-Sacofa yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sacofa Sudarnoto Osman di UNIMAS di sini.

Tambah Kadim, penubuhan makmal berkenaan dapat memberi peluang kepada pelajar Fakulti Kejuruteraan serta Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat khususnya dalam meningkatkan sempadan pengetahuan kepada teknologi terkini rangkaian data telekomunikasi.

Jelas beliau, sebanyak lapan modul latihan dan keseluruhannya 49 perkakasan serta pembelajaran sehingga 50 pengguna pada satu masa.

“Sebanyak tiga modul universiti juga dibekalkan dalam makmal berkenaan iaitu Data Asas Komunikasi bagi kegunaan pelajar Tahun Satu dan Dua, Data Komunikasi Lanjutan dan Rangkaian Komunikasi Optik untuk pelajar Tahun Tiga dan Tahun Empat,” katanya.

Beliau berkata melalui penubuhan makmal berkenaan, diharapkan ia menjadi model atau contoh kepada fakulti lain dalam menjalin kerjasama dengan pihak industri lain.

Kadim berkata ini kerana melalui kerjasama sedemikian semua pihak mendapat manfaat di samping menjalin hubungan baik antara universiti dan industri bagi membangunkan modal insan berkualiti.