20 kaki judi ditahan bersama seorang pekerja premis

0
PERIKSA: Anggota polis sedang memeriksa komponen komputer yang dirampas.

PERIKSA: Anggota polis sedang memeriksa komponen komputer yang dirampas.

KUCHING: Akibat kemaruk berjudi, 20 kaki judi ditahan bersama seorang pekerja sebuah premis perjudian atas talian yang dioperasikan secara haram di sebuah pusat komersil, di sini kelmarin.

Difahamkan operasi menggempur premis berkenaan di Jalan Ang Cheng Ho itu dilancarkan oleh anggota daripada Unit D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)sebaik mendapat maklumat sekitar jam 9.30 malam kelmarin (Khamis).

Dalam serbuan tersebut seramai 21 individu termasuk empat penonton dan seorang pekerja premis berkenaan ditahan dipercayai berusia sekitar 20 hingga 40 tahun.

Selain itu, turut dirampas ialah 25 set komputer pelbagai jenama serta sejumlah wang tunai.

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4B(a) ARJT 53 dan Ordinan Hiburan 2001.

Sementara itu, sebuah lagi premis perjudian atas talian di Jalan Stampin Baru, diserbu dan seorang lelaki tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, serbuan tersebut dilakukan oleh anggota daripada Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kuching iaitu sekitar jam 10.40 malam.

“Dalam serbuan tersebut, sebanyak 20 set komputer dirampas dan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun iaitu pekerja di premis tersebut ditahan untuk siasatan lanjut,”kata sumber.

Kesemua barang rampasan dan suspek dihantar ke IPD Kuching untuk tindakan selanjutnya.