31 Briged Sempadan dirancang di seluruh Sarawak

0

Oleh Rusnan Mustafa//

TERUS BERJUANG: Stephen (tengah) bersama warga Satu Divisyen merakam gambar kenangan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Divisyen Pertama Infantri Malaysia ke-49.

TERUS BERJUANG: Stephen (tengah) bersama warga Satu Divisyen merakam gambar kenangan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Divisyen Pertama Infantri Malaysia ke-49.

KOTA SAMARAHAN: Divisyen Pertama Infantri Malaysia merancang untuk menubuhkan 31 Briged Sempadan di seluruh Sarawak pada tahun ini.

Panglima Satu Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, penubuhan briged itu bagi memperkukuhkan keselamatan di perbatasan negeri ini.

“Pada tahun ini kita telah merancang membangunkan 31 Briged Sempadan di Sarawak bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan Satu Divisyen khususnya tentera darat dalam menjaga keselamatan di perbatasan negeri ini.

“Markas dan ibu pejabat 31 Briged Sempadan itu dirancang dibina di Bintulu pada tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Divisyen Pertama Infantri Malaysia Ke-49 di Kompleks Kem Muara Tuang di sini semalam.

Stephen memberitahu, 31 Briged Sempadan itu akan mempunyai lima batalion yang akan ditempatkan di lima kawasan iaitu Bintulu, Kuching, Sibu, Miri dan Lawas.

Beliau menambah dengan penubuhan briged itu, Satu Divisyen kini mempunyai tiga briged iaitu Briged Ketiga, Briged Kesembilan dan 31 Briged Sempadan di negeri ini.

“Dengan penubuhan itu kita akan lebih efektif untuk mengawal kawasan sempadan kita diperbatasan dan penjawatannya setakat ini masih ‘ad hoc’ namun kita masih lagi berusaha untuk mendapatkan penjawatan yang sebenar,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau turut memberitahu bahawa pihaknya merancang untuk menyerap masuk anggota wataniah untuk menyertai 31 Briged Sempadan.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau menyeru agar warga Satu Divisyen lebih profesional terutama dalam kemahiran.

Katanya ia penting bagi memastikan warga Satu Divisyen sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain itu, menurut Stephen pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama erat bersama agensi kerajaan lain terutama agensi penguat kuasa dalam menjaga keselamatan rakyat di negeri ini dan pada masa sama melaksanakan program kemasyarakatan.

Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan Pisau Keberanian Panglima Satu Divisyen kepada lima pegawai dan anggota daripada Batalion Ke-20 RAMD dan Sijil Kepujian Panglima kepada 19 penerima.

Hadir sama Panglima Tiga Briged Brigedier Jeneral Md Yusof Aziz.