Adenan popular di hati rakyat: Entri

0

MARUDI: Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran menyifatkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem seorang pemimpin popular dalam kalangan rakyat di Sarawak.

Katanya Adenan sanggup turun sendiri ke pedalaman dan bersedia melihat sendiri kekurangan masyarakat.

“Sebab itu, rakyat negeri ini bangga dan gembira dengan kepimpinan beliau,” katanya.

Beliau mempunyai dasar-dasar membangunkan luar bandar dan pada DUN baru-baru ini beliau memohon peruntukan tambahan sejumlah RM500 juta untuk pembangunan luar bandar.

“Beliau juga popular untuk menyelesaikan masalah yang berselerak dan beliau bukan hanya kacak muka tetapi kacak di pemikiran,” katanya.

Entri berkata Adenan berjaya menurunkan tarif elektrik, dan memansuhkan bayaran tol Jambatan Lanang dan Jambatan ASEAN di Kuala Baram serta menurunkan tambang feri di seluruh Sarawak.

“Janji BN bukan seperti janji pembangkang. Apabila pilihan raya, pembangkang mula membangkitkan pelbagai isu.

“DAP akan melakukan gotong-royong yang sudah lama diguna pakai kerajaan BN,” katanya.

Entri bercakap demikian dalam ucapan aluannya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Dewan Suarah Baram semalam.

Mengulas mengenai majlis itu, ia dikatakan mampu mengeratkan silaturahim dan perpaduan rakyat.

“Ini boleh mewujudkan masyarakat yang bertoleransi dan Marudi akan kekal bersama BN. Menyokong Ketua Menteri bukan sahaja lima tahun tetapi sehingga beliau masih mampu mendampingi rakyat ,” katanya.

Turut hadir isteri Adenan, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau , ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar serta isteri Datin Amar Fatimah Iskandar dan isteri Entri Datin Rosni Sulong.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 3,000 masyarakat setempat sejauh dari Beluru, Bakong.