Apandi nafi kewujudan draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri

0

KUALA LUMPUR: Peguam Negara yang baharu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menafikan kewujudan draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dakwaan oleh warga asing Clare Rewcastle Brown dalam blog politik, Sarawak Report adalah palsu.

“Kertas pertuduhan seperti yang didakwa itu tiada dan tidak pernah sampai ke Pejabat Peguam Negara. Tambahan pula, format kertas pertuduhan itu tidak betul atau ditulis oleh Pejabat kami.

“Siasatan pasukan petugas khas masih belum selesai. Jadi adalah mustahil berdasarkan undang-undang bagi kertas pertuduhan itu dirangka lebih awal.

“Kertas pertuduhan seperti yang didakwa ini, menunjukkan terdapat konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri sekarang dengan mendakwa beliau melakukan kesalahan jenayah, dengan kaedah termasuk pembocoran maklumat palsu dan jenayah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan awal semalam.

Mohamed Apandi juga berkata plot itu menjadi ancaman kepada demokrasi Malaysia dan beliau akan mengarahkan semua tindakan yang mungkin, diambil untuk menyiasat perkara itu.

“Penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya akan digunakan tanpa pengecualian kepada sesiapa yang didapati bersalah,” tambah beliau. — Bernama