Dakwaan dana disalurkan ke dalam akaun PM masih disiasat

0

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata dakwaan kononnya dana disalurkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih disiasat dan oleh itu adalah tidak wajar butiran mengenainya didedahkan kepada umum kerana ia boleh menjejaskan siasatan.

“Siasatan masih dijalankan. Oleh itu, adalah tidak wajar didedahkan butiran yang boleh menjejaskan siasatan. Lebih khusus lagi, adalah tidak wajar untuk mendedahkan nasihat, arahan atau panduan yang diberi kepada agensi penyiasat.

“Walaupun orang ramai berhak untuk dimaklumkan, tetapi butiran tentang siasatan jenayah, yang mengandungi, antara lain, kandungan kenyataan yang diberi oleh saksi, adalah suatu keistimewaan dan undang-undang melarang perkara seperti ini didedahkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau seterusnya menambah: “Seperti yang berulang kali ditegaskan agensi penyiasat, integriti penyiasatan perlu dipelihara bagi mengelak timbulnya keraguan orang ramai.

“Minat dan keprihatinan orang ramai tentang kemajuan serta hasil sisatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah amat dihargai.

“Ini termasuk keprihatinan Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”

Mohamed Apandi berkata agensi penyiasat telah mengeluarkan kenyataan untuk memaklumkan secara umum tentang perkembangan dalam penyiasatan yang dijalankan, termasuk serbuan yang dilakukan terhadap pejabat 1MDB di Menara IMC, Kuala Lumpur pada 8 Julai dan mengenai benda-benda yang dirampas di situ.

“Kenyataan media juga dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai tangkapan dan orang yang direman bagi membantu sisatan mereka,” katanya. — Bernama