Kakitangan Grand Margherita, Riverside Majestic dididik tentang apnea ketika tidur

0

KUCHING: Kakitangan Hotel Grand Margherita dan Riverside Majestic dididik mengenai apnea ketika tidur oleh perunding ENT (Telinga, Hidung dan Kerongkong), Dr Sow Aye Jane daripada Pusat Perubatan Pakar Normah di Bilik Persidangan Hotel Riverside Majestic semalam.

Apnea ketika tidur merupakan gangguan waktu tidur di mana pernafasan seseorang individu terhenti ketika tidur.

Ceramah perubatan itu turut merangkumi ‘obstructive sleep apnea’ (OSA) yang merupakan satu lagi bentuk gangguan ketika waktu tidur.

Simptom biasa berlaku di kalangan wanita dan lelaki berumur bagaimanapun lebih meluas di kalangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

Selain memberikan gambaran mengenai gangguan tidur kepada kakitangan kedua-dua hotel, penceramah turut menyentuh mengenai rawatan ke atas gangguan ini yang merangkumi rawatan konservatif, terapi mekanikal dan penyelesaian terakhir pembedahan.

Ceramah berakhir dengan pemeriksaan kesihatan asas bagi peserta ceramah yang disertai oleh kira-kira 76 kakitangan daripada kedua-dua hotel.

Anjuran Jabatan Sumber Manusia Hotel, ceramah ini bertujuan mendidik kakitangan akan masalah perubatan lazim dan rawatan yang ada.

“Ini merupakan ceramah perubatan pertama yang kami adakan untuk kakitangan tahun ini.

“Kami sentiasa cuba mengelolakannya sekurang-kurangnya sekali setahun kerana kami percaya pencegahan adalah lebih baik daripada mengubat,” kata Pengurus Pembangunan Bakat Susan Kon.

Dalam pada itu akan ada dua lagi ceramah untuk kakitangan bagi tahun ini masing-masing pada September dan November.