Laporan Sarawak Report berniat jahat

0

KUALA LUMPUR: Laporan terbaharu portal Sarawak Report yang mendakwa kononnya wujud draf kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berniat jahat dan cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap perdana menteri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat portal berkenaan dan telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan susulan.

“Saya secara rasmi ingin menafikan yang kononnya ada dokumen atau surat arahan bagi penangkapan dan pendakwaan yang dilakukan Jabatan Peguam Negara kepada perdana menteri. Dan laporan yang dikemukakan oleh Sarawak Report adalah laporan jahat untuk menunjukkan persepsi negatif terhadap perdana menteri.

“Peguam Negara dah nafikan … termasuk penafian dibuat oleh beberapa orang pegawai yang sahkan tiada dokumen yang dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Bukit Aman, di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas tindakan yang akan diambil terhadap portal Sarawak Report berhubung penerbitan artikel berkaitan dakwaan wujud draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri dan telah dinafikan kewujudannya oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam pada itu, ditanya sama ada perlunya tindakan undang-undang atau politik diambil terhadap Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung rakaman video di kediamannya baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata apa yang penting ialah pendirian bekas timbalan perdana menteri itu untuk terus bersama dengan parti dan kerajaan.

Beliau menegaskan Muhyiddin telah banyak menyumbang kepada kerajaan dan parti selaku Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dan juga Timbalan Presiden UMNO, serta meminta semua pihak menghormati situasi yang sedang dihadapinya pada ketika ini.

“Saya sendiri bercakap dengan Tan Sri Muhyiddin … rakaman itu tidak merupakan saluran rasmi untuk beliau nyatakan sebagaimana yang terdapat dalam rakaman berkenaan. Ia jadi viral kerana seolah-olah ada pandangan antagonistik yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin.

“Sebenarnya pendirian beliau jelas sebagai Timbalan Presiden UMNO, beliau akan tetap sokong tindakan oleh parti. Beliau juga menyatakan jika ada pihak yang mahu membawa undi tidak percaya (terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat), beliau juga akan menyokong supaya undi tidak percaya itu tidak dijalankan.

“Ertinya pendirian beliau amat jelas, beliau hendak terus bersama dengan kepimpinan parti dan kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa barisan jemaah menteri yang baharu masih tidak mendapat kepercayaan orang ramai, Ahmad Zahid berkata semua pihak harus menghormati keputusan yang dibuat oleh Najib.

“Mustahil kalau dapat 100 peratus puaskan hati semua. Tapi, oleh kerana kuasa mutlak di tangan perdana menteri, tentu beliau mempunyai beberapa pandangan sebelum pengumuman pelantikan dibuat,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, Perdana Menteri juga tentunya telah mendapatkan maklumat jelas tentang latar belakang dan rekod setiap individu yang dilantik untuk bersama-sama beliau mentadbir negara.

Perdana Menteri pada Selasa mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin. Empat menteri lain turut digugurkan dan tujuh menteri baharu dilantik. — Bernama