Lawan syarikat rakus

2

Oleh Ambrose Rirang//

 

BANTAH: Pemilik tanah NCR dari Rumah Madel, Sungai Sepadok memegang kain rentang bertulis bantahan terhadap pencerobohan tanah milik mereka semalam.

BANTAH: Pemilik tanah NCR dari Rumah Madel, Sungai Sepadok memegang kain rentang bertulis bantahan terhadap pencerobohan tanah milik mereka semalam.

BINTULU: Penduduk Rumah Madel, Sungai Sepadok (Sebauh) mengecam sekeras-kerasnya tindakan sebuah syarikat perladangan kelapa sawit yang sengaja menceroboh masuk ke tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan meneres tanah dan menanam kelapa sawit di atas tanah milik mereka.

Menurut penduduk rumah panjang terbabit, Raymond Dundang pemilik tanah NCR berkenaan mengakui tanah mereka diceroboh oleh syarikat terbabit sejak sekian lama dengan sengaja meneres tanah mereka sesuka hati dan memusnahkan tanaman seperti getah, buah-buahan dan sebagainya.

“Masalah ini seakan-akan tiada penyelesaiannya meskipun aduan polis sudah dibuat oleh penduduk kampung berhubung pencerobohan syarikat terbabit ke atas tanah NCR milik kami,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, bimbang dengan situasi pencerobohan semakin serius penduduk kampung sepakat turun ke tanah mereka semalam dan terkejut apabila mendapati pekerja Indonesia menggunakan enam jentera menjalankan kerja-kerja pembersihan serta peneresan bukit di atas tanah tersebut.

Difahamkan penduduk kampung turut bertanya kepada pekerja terbabit siapa yang mengarahkan mereka menceroboh masuk dan mengarahkan pekerja berkenaan menghentikan kerja-kerja pembersihan serta menghubungi penyelia atau pengurus mereka bagi mengadakan sesi perbincangan dengan mereka.

Tetapi, malangnya tidak ada seorang pun wakil syarikat perladangan berskala besar itu tampil berbincang dengan penduduk kampung yang merupakan pemilik tanah NCR itu.

Apabila ditanya siapa mengarahkan mereka (pengendali jentera) menjalankan kerja-kerja pembersihan dan peneresan tanah ke atas tanah NCR mereka, salah seorang pekerja berkenaan berkata mereka menerima arahan pengurus untuk melakukannya.

“Kami (pekerja) mengetahui kami melakukan kesalahan kerana ternampak tanda sempadan tanah antara tanah NCR milik penduduk dan syarikat perladangan, namun majikan mengarahkan kami meneruskan sahaja kerja-kerja itu tanpa banyak persoalan,” jelasnya.

Masalah pertikaian sempadan tanah di kawasan Sepadok merupakan antara isu hangat berlaku di Bintulu dan pertikaian mengenainya antara kedua-dua pihak berlanjutan sejak sekian lama tanpa sebarang penyelesaian.