Lelaki dimasukkan ke HUS selepas minum racun

0

KUCHING: Seorang lelaki dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas dikatakan meminum segelas racun rumput di rumahnya di Siburan, di sini semalam.

Mangsa yang berusia 24 tahun itu dan dipercayai mengalami gangguan mental ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh keluarganya iaitu sekitar jam 10 pagi.

Selepas ditanya, mangsa memberitahu dia telah meneguk segelas racun rumput menyebabkan keluarganya segera menghantarnya ke Unit Kecemasan HUS untuk rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di HUS.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki yang dikatakan bertindak mengelar pergelangan tangannya telah dikejarkan ke HUS oleh keluarganya semalam.

Difahamkan, insiden berlaku di Kampung Paya Mebi, di mana mangsa yang tinggal bersama keluarganya ditemui dalam keadaan berlumuran darah iaitu sekitar jam 5 pagi.

Pemeriksaan kemudian mendapati dia mengalami luka di pergelangan tangannya dipercayai akibat dikelar oleh dirinya sendiri.

Punca kejadian masih belum diketahui namun keadaan mangsa dilaporkan stabil sehingga berita ini ditulis semalam.