Pembangunan hoki disokong

0
TERIMA KASIH: Haidel (dua kiri) menerima jersey daripada Lesley sambil disaksikan Desmond (kiri) di Kuching semalam.

TERIMA KASIH: Haidel (dua kiri) menerima jersey daripada Lesley sambil disaksikan Desmond (kiri) di Kuching semalam.

KUCHING: Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Dr Ong Kong Swee menyokong penuh usaha Persatuan Bekas Pemain Hoki Sarawak (PBPHS) dalam membangunkan semula sukan hoki di negeri ini.

Menurut Dr Ong, inisiatif PBPHS wajar diberikan pujian memandangkan persatuan itu baharu dibentuk sebulan lalu namun telah merangka pelbagai program pembangunan termasuk menghidupkan semula Liga Hoki Sarawak 2015 dan Karnival Hoki Wanita 9 Sebelah yang diadakan pada 1-6 Ogos ini.

“MSNS menyokong penuh inisiatif PBPHS menghidupkan semula sukan hoki di Sarawak.

Saya percaya apa yang dilakukan oleh PBPHS dapat membantu mewujudkan semula minat masyarakat di sini terhadap hoki dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan Sarawak dalam sukan tersebut,” katanya semasa mengadakan perjumpaan dengan exco persatuan tersebut diketuai Presiden PBPHS, Haidel Heli dan setiausahanya, Desmond Labong di sini semalam.

Dr Ong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (PSNS) yakin program terancang yang dirangka oleh PBPHS akan menjadi landasan terbaik melahirkan lebih ramai pemain hoki berbakat serta menjadi medan persiapan bagi atlet-atlet Sarawak bersaing pada SUKMA XVIII 2016.

Sementara itu, Haidel melahirkan rasa gembira selepas menerima sokongan penuh daripada MSNS dan PSNS.

Katanya, sokongan dua badan induk sukan negeri itu amat penting bagi PBPHS merangka pelbagai program pembangunan khususnya di peringkat akar umbi.

“Kita juga mengalu-alukan sokongan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta bagi memastikan perancangan jangka masa panjang PBPHS mencapai misi dan visi yang ditetapkan iaitu mengembalikan semula era kegemilangan hoki Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, kempen Liga Hoki Sarawak dan Karnival Hoki Wanita 9 Sebelah menerima suntikan tajaan daripada syarikat UHSports Sdn Bhd yang menaja pakaian rasmi untuk petugas kejohanan tersebut.

Majlis ringkas penyerahan tajaan dirasmikan oleh Haidel dan Pengarah Eksekutif UHSports, Lesley Lau di Stadium Hoki Negeri Sarawak, Jalan Padungan di sini.

Sebanyak sembilan pasukan mengesahkan penyertaan pada Liga Hoki Sarawak manakala sembilan lagi pada Karnival Hoki Wanita.

Kategori lelaki dibahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A melibatkan Warrior HC, SMK Serian, IPGBL dan SUKMA Shadow.

Manakala lima lagi pasukan iaitu Gertaq HC, Paku HC, Samerah Padi, Kuching Sikh’s HC dan Kuching HC bersaing dalam Kumpulan B.

Karnival Hoki Wanita berlangsung dua hari (1-2 Ogos) disertai SMK Serian, Gertaq HC, SMK Balai Ringin, Brunei Hockey, IPGBL, SMK Sri Matang, Warrior HC, SUKMA Shadow dan SMK Bako.

Semua perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Negeri Sarawak, Jalan Padungan Kuching dan Padang Hoki SMK Paku, Bau.