Putus cinta, remaja nekad tembak diri

0

UB15080119SRI AMAN: Dipercayai berpunca daripada putus cinta, seorang remaja lelaki nekad menembak dirinya menggunakan senapang patah dalam satu kejadian di Rumah Sadut, Pantu, di sini kelmarin.

Menurut sumber, mangsa iaitu Jeadon Presili Richit 19 (gambar), ditemui mati dengan kesan tembakan di dadanya selepas keluarganya dikejutkan dengan bunyi tembakan iaitu sekitar jam 6.30 petang.

Difahamkan, mangsa yang dipercayai kecewa dengan percintaan, bertindak sedemikian selepas berjaya mencuri selaras senapang patah milik bapa saudaranya dan membawanya masuk ke dalam biliknya.

“Sekitar jam 6 petang, mangsa dilihat masuk ke dalam biliknya dan kira-kira 30 minit kemudian keluarganya dikejutkan dengan bunyi tembakan lalu terus memeriksa mangsa dan mendapati dia tidak lagi bernyawa.

“Terdapat kesan tembakan di dada mangsa, di mana dipercayai mangsa menembak dirinya dengan menekan picu senapang menggunakan ibu jari kaki,” kata sumber.

Keluarga mangsa telah menghubungi pihak polis memaklumkan mengenai kejadian tersebut dan siasatan di tempat kejadian telah dilakukan.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Muhammad berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan rebah dan berlumuran darah di bahagian dada di bilik atas rumah panjang tersebut.

“Hasil siasatan awal mempercayai mendiang meninggal dunia akibat tembakan di bahagian dada. Manakala selaras senapang patah turut ditemui berada bersebelahan mayat si mati,” katanya.

Menurut Jusoh lagi, polis turut merampas satu butir kelongsong peluru ‘MB’ berwarna ungu, satu keping lesen senapang patah dan nota daripada si mati di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk bedah siasat.

Sementara, Mat Jusoh turut memberitahu kes tersebut masih dalam siasatan polis dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.