Rela berbelanja besar demi rakyat Sarawak

0

Oleh Steve Annuar//

 

RAYA: Adenan (tengah) ditemani tetamu kehormat lain memotong pulut kuning di meja utama sebagai simbolik perasmian Majlis Melanggar Meja dan Ramah Mesra Aidilfitri di Dewan Masyarakat Sepupok, Niah malam kelmarin.

RAYA: Adenan (tengah) ditemani tetamu kehormat lain memotong pulut kuning di meja utama sebagai simbolik perasmian Majlis Melanggar Meja dan Ramah Mesra Aidilfitri di Dewan Masyarakat Sepupok, Niah malam kelmarin.

MIRI: Peruntukan besar dibelanja kerajaan negeri demi kepentingan semua rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Jelasnya, lebih banyak lagi pembangunan bakal dinikmati rakyat negeri ini sekiranya beliau diberi mandat dan kepercayaan untuk terus memimpin Sarawak.

“Saya rela berbelanja berjuta-juta ringgit untuk rakyat kita,” jelas Adenan ketika menghadiri Majlis Melanggar Meja dan Ramah Mesra Aidilfitri bersama penduduk Niah dan sekitarnya di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Subis Niah di Sepupok Niah malam kelmarin (Khamis).

Ia merupakan lawatan pertama beliau ke Sepupok Niah yang terletak lebih sejam perjalanan darat dari bandar raya Miri setelah dipilih sebagai Ketua Menteri kelima Sarawak.

Pada majlis itu, Adenan turut meluluskan permohonan peruntukan projek menaik taraf yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus yang berjumlah RM4.3 juta.

Jumlah itu merangkumi RM2 juta untuk projek menaik taraf Waterfront Sungai Niah, RM1.8 juta untuk projek pasar Batu Niah dan RM500,000 untuk membaik pulih mendapan Masjid Al Jabbar, Niah.

Selain ini, geran kerajaan turut diperlukan untuk pembesaran Dewan Masyarakat Sepupok, Niah.

Adenan berkata setelah lebih setahun menyandang jawatan Ketua Menteri, banyak kelebihan diberikannya kepada rakyat yang antaranya tiada bayaran tol jambatan, bayaran RM1 untuk feri dan tarif elektrik yang rendah.

Beliau menegaskan, sokongan padu rakyat mampu menjadikan Sarawak negeri yang kuat dalam menyuarakan hak mereka kepada kerajaan pusat, termasuk royalti 20 peratus untuk minyak dan gas.

“Beri saya lima tahun lagi. Saya perlukan bantuan anda (sokongan undi) untuk saya mendapat mandat yang besar,” katanya.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Kemudahan Awam Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Lambir Ripin Lamat, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Yusuf Sani Wahab dan Residen Miri Antonio Kahti Galis.