RM16 juta untuk pembaikan sekolah terjejas gempa bumi: Jane

0

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sudah menerima peruntukan kira-kira RM16 juta bagi penyelenggaraan sekolah-sekolah yang terjejas gempa bumi pada 5 Jun lalu.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata, jabatan itu sudah menerima peruntukan dan kini sedang dalam proses pembaikan untuk membina kelas sementara bagi sekolah-sekolah yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Beliau berkata kerosakan yang berlaku semasa bencana gempa itu sedang diperbaiki dan mana-mana sekolah yang memerlukan laporan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) pula, ia akan dilakukan dengan lebih berhati-hati.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan pembaikan sekolah-sekolah yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda daerah Ranau pada 5 Mei lalu.

Kejadian gempa itu menyebabkan banyak sekolah mengalami kerosakan teruk terutama sekolah di kawasan Ranau dan Kundasang.

“Peruntukan yang diterima berjumlah kira-kira RM16 juta itu adalah untuk penyelenggaraan lebih 80 sekolah yang mengalami kerosakan kecil dan besar. Antara sekolah yang mengalami kerosakan teruk ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Mohamad Ali Ranau, SMK Ranau, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Pei Wen Ranau, Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi-Jawi.

“Antara sekolah lain yang mengalami kerosakan kecil dan perlu pembaikan adalah seperti SK Inanam Laut. Kita sudah buat khemah dan dalam proses untuk membuat bangunan sementara,” katanya.

Bagaimanapun, bagi sekolah-sekolah yang ditimpa gempa bumi, semua proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Jame juga meminta guru besar agar memberi keutamaan menyediakan bilik darjah kepada pelajar tahun enam yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam tempoh sebulan lebih lagi.