Warga Brunei campak dadah dicekup polis

0

LIMBANG: Tindakan seorang lelaki warganegara Brunei mencampakkan dadah jenis syabu ke luar keretanya hanya sia-sia apabila dicekup polis dalam satu pemeriksaan cegah jenayah di sempadan, Jalan Pandaruan di sini kelmarin.

Suspek yang berusia 28 tahun, yang panik mencampakkan dadah menggunakan tangan kanannya keluar kereta sebaik melihat anggota polis dalam kejadian berlaku jam 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata polis kemudiannya mengarahkan suspek mengambil barang tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati barang dicampak suspek mengandungi satu bekas plastik berisi satu keratan tiub straw mengandungi ketulan kristal disyaki dadah syabu.

“Anggaran berat kasar dadah itu adalah 0.05 gram, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang untuk tindakan lanjut,” katanya di sini semalam.

Mohd Bukhori menjelaskan, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek yang berasal dari daerah Temburong, Brunei itu positif dadah.

“Hasil siasatan menunjukkan suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dipercayai menghisap syabu sejak dua tahun lalu.

“Suspek juga pernah ditangkap dua tahun lalu di Temburong, Brunei kerana positif dadah,” ujarnya.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.