Warga emas maut selepas terlibat kemalangan

0

Oleh Jeremy Lanson//

PANTAS: Anggota paramedik segera membawa mangsa masuk ke dalam Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan.

PANTAS: Anggota paramedik segera membawa mangsa masuk ke dalam Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan.

KUCHING: Seorang wanita warga emas terbunuh akibat kecederaan di dadanya selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Green, di sini petang kelmarin.

Mangsa, Lee Gui Hiong,72, difahamkan semasa kejadian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Kapur selepas membeli barang di Pasar Satok dengan mengayuh basikal iaitu sekitar jam 7 pagi.

Menurut sumber, mangsa yang cuba melintas jalan itu bagaimanapun dilanggar sebuah kereta sehingga menyebabkan dia tercampak beberapa meter dari tempat kejadian.

“Mangsa mengayuh basikal menuju ke rumahnya dan ketika hendak melintas jalan, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

“Ekoran itu, mangsa tercampak beberapa meter dan dilaporkan mengalami kecederaan tulang rusuk sehingga menyebabkan kecederaan pada paru-parunya,” kata sumber.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut segera membantu mangsa sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.

Sekitar jam 12 tengah malam, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dan mayatnya telah dituntut oleh keluarga untuk upacara pengebumian.

Siasatan polis berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Samarahan-Serian juga dilaporkan meninggal dunia semalam.

Mangsa, Vincent Kuray Joseph Miris, 25, semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tijirak, Siburan dengan menunggang motosikal iaitu sekitar jam 8 malam Khamis lepas.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal sehingga menyebabkan ia terbabas ke laluan bertentangan dan dilanggar sebuah kereta.

“Mangsa dikejarkan ke HUS oleh pihak ambulans dan dirawat di Unit kecemasan HUS sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 5 pagi tadi (semalam),”kata sumber.

Mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk upacara pengebumian.