Penjara berperanan didik penghuni salah langkah

0
JASAMU DIKENANG: Wan Junaidi (tengah) dan isteri (enam kiri) bersama pegawai penjara yang bersara. Turut kelihatan Zulkifli (enam kanan) di Sibu malam kelmarin.

JASAMU DIKENANG: Wan Junaidi (tengah) dan isteri (enam kiri) bersama pegawai penjara yang bersara. Turut kelihatan Zulkifli (enam kanan) di Sibu malam kelmarin.

JPM berperanan mengubah persepsi terhadap perkara berlaku di sebalik tembok penjara

Oleh Florence Nervyn //

SIBU: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) memainkan peranan positif mengubah persepsi masyarakat terhadap perkara berlaku di sebalik tembok penjara.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Jabatan Penjara menjalankan tanggungjawab mendidik penghuni penjara yang salah langkah dalam kehidupan untuk kembali kepada masyarakat.

“Ini adalah satu perjuangan yang amat besar maknanya. Sebagai sekolah mendidik anak-anak.

“Begitulah Jabatan Penjara mendidik mereka yang salah langkah dalam kehidupan.

“Jabatan Penjara mendidik mereka supaya kembali kepada masyarakat sebagai orang berguna dan paling utama kepada keluarga mereka.

“Perkara ini perlu dipromosi, ditunjuk dan diberitahu kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang dan Anugerah Pelajar Cemerlang Persatuan Pegawai Penjara (POA) dan Persatuan Isteri, Anak-Anak dan Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) anjuran Penjara Negeri di Kompleks Islam Sarawak Sibu, malam kelmarin.

Beliau turut melahirkan harapan agar JPM dapat menjadi ‘Department of Correctional’ dalam usaha memantapkan peranan dan tanggungjawab jabatan tersebut.

“Jabatan Penjara memainkan banyak peranan positif daripada beberapa sudut. Bukan sahaja kepada mereka yang melakukan jenayah dan kesalahan-kesalahan lain.

“Malah, banyak sudut lain umpamanya mereka yang terseleweng dari segi akidah dan pendapat dalam sudut agama iaitu mereka yang salah pendapat dan pengetahuan dalam perjuangan Islam.

“Kita mahu penjara menjalankan tugas dan tanggungjawab menukarkan pemikiran dan kepercayaan tidak betul kepada kepercayaan betul supaya dapat mengembalikan mereka ke jalan betul dan menjadi masyarakat berguna,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, setiap anggota dan pegawai penjara tidak boleh berpeluk tubuh seperti dahulu memandangkan cabaran dihadapi sama besar seperti dihadapi jabatan-jabatan lain sama ada polis atau jabatan-jabatan lain.

“Oleh itu, perlengkapkan diri untuk terus menjalankan tugas dengan cemerlang dan memenuhi aspirasi kerajaan supaya Jabatan Penjara dapat mengubah minda, kesalahan dan kelemahan mereka yang dihantar ke istitusi itu,” katanya.

Wan Junaidi meminta pegawai dan anggota yang penjara bersara dalam perkhidmatan menyertai Persatuan Bekas Pegawai Penjara Malaysia (EXPOAM) kerana mereka bukan hanya bersara tetapi masih diperlukan.

Pada majlis sama, tiga pegawai penjara bersara tahun ini diraikan iaitu Ketua Inspektor Penjara (KIP) Tensay Megan dan Sarjan Kamarulzaman Latip daripada Penjara Pusat Sibu dan Sub Inspektor Mohd Apandi Salleh daripada Penjara Pusat Miri.

Selain itu, seramai 21 pelajar menerima anugerah kecemerlangan.

Hadir sama isterinya Datin Sri Fiona, Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar dan isteri Yang Dipertua PERSIAP Malaysia Datin Seri Noraini Man, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Wan Abdul Rahman Abdullah, Pengerusi POA Ahmad Faudzi Awang, Pengarah Penjara Negeri Abdul Kadir Rais dan Pengarah Penjara Sibu Mohamad Jusoh Ismail.