Adenan akan rasmi projek Jambatan Bako 8 Ogos ini

0

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni memaklumkan bahawa perasmian projek pembangunan Jambatan Bako akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 8 Ogos ini di sini.

“Projek ini telah diluluskan dan merupakan projek Kerajaan Negeri Sarawak.

“Dan jambatan tersebutlah yang akan membawa transformasi lebih besar kepada masyarakat khususnya untuk penduduk di Bako,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Bersama Pemimpin di Dewan Serba Guna Kampung Sejingkat di sini, malam kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Datin Sri Fiona Sim.

Selain itu, Hazland dalam ucapannya berkata selain mencapai kemenangan pada bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya, turut diraikan ialah Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang telah dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh.

“Pertama, kita telah mencapai kemenangan setelah satu bulan di bulan Ramadan dan inilah waktu kita meraikan kemenangan tersebut.

“Dan kedua, Dato Sri Wan Junaidi telah dilantik sebagai menteri penuh.

“Syabas, tahniah dan syukur… ini adalah berkat kesabaran, keikhlasan dan perjuangan yang tidak berhenti-henti,” jelasnya.

Selain jamuan dan persembahan nyanyian lagu raya, masyarakat yang hadir dihiburkan dengan pentomin raya oleh penduduk Kampung Sejingkat.

Turut diadakan majlis tepung tawar kepada Wan Junaidi serta penyampaian sumbangan kepada warga emas, ibu tunggal dan OKU.