Bidayuh harus pulihara dan kekal identiti, kata Manyin

0

SARIKEI: Masyarakat Bidayauh harus memulihara dan mengekalkan identiti mereka walaupun berada dalam kelompok agak kecil berbanding masyarakat lain.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata dalam merealisasikan matlamat itu kaum Bidayuh harus mengutamakan kualiti.

“Masyarakat Bidayuh berada dalam kuantiti sekitar 200,000 orang di negeri ini, harus berusaha mengekalkan identiti kaum dengan prestasi yang terbaik.

“Ini merangkumi pencapaian dalam kecemerlangan hidup daripada aspek kerjaya, pendidikan, sosial, ekonomi dan lain-lain.

“Walaupun daripada golongan masyarakat luar bandar, kaum Bidayuh harus memperlengkap diri dengan sepenuhnya agar mampu bersaing dengan kaum lain,” katanya pada Sambutan Perayaan Jubli Perak Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Sarikei di Dewan Suarah Sarikei malam kelmarin.

Menurutnya, kunci utama mencapai prestasi kecemerlangan adalah melalui pendidikan.

Manyin yang juga penasihat DBNA meminta masyarakat Bidayuh yang belum mendaftar sebagai ahli DBNA agar mendaftar diri dengan segera kerana ia mempunyai banyak manfaat.

“Kita mahu slogan utama DBNA iaitu 1Bidayuh 1Identiti difahami dengan sejelas-jelasnya sama ada daripada aspek atau maksud tersurat dan tersirat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DBNA Sarikei Dr Alim Impira berkata program ini mempunyai beberapa misi dan visi.

“Antaranya memperkukuh hubungan ahli DBNA dan masyarakat, memberi insentif kepada pelajar yang terdiri anak-anak ahli DBNA yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam serta sebagai tanda kesyukuran,” katanya.

DBNA Sarikei turut menerima suntikan dana daripada Manyin berjumlah RM10,000.

Hadir sama Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Presiden DBNA Sarawak Datu Ik Pahon Joyik, Residen Bahagian Sarikei Dahim Nadot, Setiausaha Politik Ketua Menteri John David Nyauh, Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS) Chan Pan Chan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dayang Raoyah Abang Adeng serta beberapa tetamu.