Bumiputera diminta tidak jual, gadai tanah

0

Sikap suka jual tanah beri kesan negatif kepada mereka dan masa depan generasi baharu: Len

Oleh Kepu Sidi //

SARIKEI: Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh meminta masyarakat Bumiputera di negeri ini tidak menjual dan menggadaikan tanah mereka.

Katanya sikap suka mendapatkan wang segera melalui tindakan menjual tanah boleh mendatangkan kesan negatif kepada mereka dan masa depan generasi baharu.

“Tanah adalah harta paling bernilai dan mampu memberi pulangan lumayan jika diterjemahkan kepada aktiviti pembangunan seperti pertanian dan sebagainya.

“Oleh itu, kita mahu masyarakat berusaha membangunkan tanah mereka dan jangan membiarkan tanah itu terbiar begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikia pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Pembesaran Kampung Tanjung Bundong, Bintangor dan Kampung Susur Jambu Sarikei serta Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Jabatan Tanah dan Survei Sarikei semalam.

Sebanyak 160 TOL diagihkan kepada penduduk daripada dua Skim Pembesaran Kampung Tanjung Bundong, Bintangor dan Kampung Susur Jambu, Sarikei.

Selain itu terdapat 16 warta Sekyen 6 Kanun Tanah Negeri turut disampaikan kepada 14 rumah panjang dan sebuah komuniti Melayu Kampung Selemas, Bintangor serta sebuah komuniti Melanau Kampung Selalang.

Len yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) berkata usaha itu membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan sistem berkaitan pemilikan tanah rakyat negeri ini lebih tersusun dan sistematik.

“Pengeluaran TOL adalah untuk kediaman bagi skim-skim pembesaran kampung yang merupakan usaha kerajaan memastikan rakyat layak diperuntukkan tanah kediaman supaya mereka dapat membina rumah pada suatu hari nanti.

“Di samping itu, kerajaan juga membantu golongan miskin mendapat bantuan melalui program e-Kasih dan bantuan rakyat bina rumah serta baik pulih rumah,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belawai itu turut menasihati semua penerima lot kediaman agar berusaha mendirikan rumah di lot yang diagihkan kepada mereka.

Turut hadir Penguasa Tanah dan Survei Sarikei Ngu Tai Kong, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dayang Raoyah Abang Adeng, Pegawai Daerah Meradong Mastapa Julaihi serta ketua-ketua masyarakat.