DUBS digesa jalin kerjasama dengan agensi kerajaan pusat, negeri

0

KUCHING: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) digesa mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih kukuh bukan sahaja antara ahli tetapi juga dengan agensi kerajaan pusat dan negeri.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata kerjamama yang erat itu penting bagi memajukan DUBS dan bergerak aktif.

“Oleh itu, saya berharap DUBS dapat memanfaatkan kemudahan dan teknologi masa kini seperti penggunaan media tidak rasmi ini, WhatsaApp yang cepat, mudah dan berkesan untuk menghubungkan DUBS sendiri dan agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di pekarangan tempat letak kereta Uni Capital, Kota Samarahan, malam kelmarin.

Menteri Muda Perancangan Sumber itu menambah, penggunaan media tidak rasmi akan memudahkan setiap ahli DUBS mendapatkan maklumat terkini berkaitan projek dan sebagainya.

Pada masa sama, Naroden mengingatkan agar setiap ahli DUBS tidak menyalah guna kemudahan media sosial untuk menjatuhkan sesama sendiri tetapi memanfaatkannya untuk membangun bersama.

“Jangan mudah terperdaya dengan dakyah yang disebar menerusi media sosial ini kerana ia boleh meretakkan hubungan sesama kita sekali gus menjatuhkan kita sendiri,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyalah guna media sosial ini bagi memelihara perpaduan dan keharmonian rakyat negeri ini.

Hadir sama Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.