Kerajaan atasi masalah kepadatan masyarakat Melayu Kampung Beladin

0

BETONG: Kerajaan negeri bersedia menyediakan tapak tanah kepada masyarakat Melayu Kampung Beladin bagi menampung kesesakan yang berlaku di perkampungan Melayu terbesar di Sarawak itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, keluasan tapak sedia ada di Kampung Beladin sudah tidak mencukupi menyebabkan perkampungan itu berselerak dan sesak.

Jelasnya, apatah lagi dengan penambahan penduduk yang mendirikan rumah haharu dan menyediakan tapak baharu adalah penyelesaian terbaik.

“Saya sedar bahawa perkampungan Melayu Beladin bertemu atap  atau  anjung  antara satu sama  lain disebabkan masalah kepadatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Bahagian Betong Bersama YAB Ketua Menteri Sarawak di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin di sini, semalam.

Jelasnya, beliau akan menyedia tapak tanah buat penduduk mendirikan rumah di kawasan yang dicadangkan.

Selain itu Adenan memberitahu bahawa beliau sudah tidak membenar mana-mana syarikat swasta berminat untuk menanam kelapa sawit secara komersil di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

“SALCRA dan Pelita atau agensi kerajaan lain sahaja yang masih dibenar memajukan tanah dengan tanaman kelapa sawit secara komersil di negeri ini,” katanya.

Ini berikutan kehadiran syarikat berminat mengusaha tanaman kelapa sawit secara komersil di Negeri ini sering menimbulkan pergaduhan antara pemilik tanah NCR sama ada dengan saudara-mara atau pemilik lain, katanya.

“Jadi saya tidak benarkan mereka ini (syarikat swasta) mengusaha tanaman kelapa sawit di sini kerana yang menjadi mangsa adalah pemilik tanah yang sering bergaduh berebut soal tanah,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Datuk Seri  Rohani Abdul Karim, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan ADUN Beting Maro Razaili Gapor