Masing sangkal andaian TERAS akan diberi mandat bertanding

0

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing semalam menyangkal andaian bahawa Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) akan diberi mandat untuk bertanding di kerusi Marudi.

Menurut Masing, meskipun Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan bahawa Datuk Sylvester Entri Muran merupakan calon berpotensi bagi kerusi itu namun beliau (Adenan) tidak menyebut atas tiket TERAS.

“Siapa yang memiliki kerusi Marudi? Ia adalah milik Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang merupakan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Anda mesti telah salah tafsir, memang Ketua Menteri ada menyebut bahawa Entri adalah calon berpotensi di Marudi, tetapi beliau tidak menyatakan bahawa calon berpotensi bagi TERAS.

“Jadi, oleh kerana kerusi Marudi adalah dimiliki oleh SPDP maka soal calon bagi kerusi itu akan ditentukan oleh SPDP atas persetujuan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat PRS di sini semalam.

Tambah Masing, Ketua Menteri yang juga pengerusi BN Sarawak adalah bijak dalam soal ini apabila menyatakan bahawa Entri akan bertanding atas tiket BN tanpa menyebut TERAS.

“Saya tidak mahu membuat andaian lagi berhubung soal ini. Tetapi setakat ini hanya seorang calon BN yang bertanding sebagai calon terus BN iaitu Datuk Seri James Dawos Mamit di mana ketika itu tiada calon ditambah dengan kerusi baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Entri berjaya memenangi kerusi Marudi pada Pilihan Raya Negeri 2011 atas tiket SPDP.

Namun susulan krisis dalaman parti, Entri telah dipecat daripada SPDP dan kemudiannya membentuk TERAS bersama bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom serta tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Datuk Peter Nansian Ngusie, Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang.

Entri kini merupakan setiausaha agung TERAS dan Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air).