Pelajar jangan persia bantuan pendidikan kerajaan: Simoi

0

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri menasihati pelajar supaya tidak mempersiakan segala kemudahan dan bantuan pendidikan kerajaan.

Katanya kemudahan dan bantuan pendidikan diberi kerajaan selama ini adalah amat penting demi mempertingkat pencapaian akademik pelajar di sekolah masing-masing.

Simoi menjelaskan, kerajaan berbelanja bilion ringgit bagi tujuan berkenaan bermula daripada pembinaan kemudahan prasana sekolah hinggalah pemberian bantuan pendidikan berbentuk kewangan dan Baucar Buku 1Malaysia, ujarnya.

“Jadi jangan sia-siakan kemudahan ini agar anda dapat menjadi modal insan berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa akan datang,” katanya.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Permuafakatan dan Hari Terbuka Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman di Dewan Hollis Tini, sekolah terbabit baru-baru ini.

Simoi pada majlis itu menyampaikan cek geran kerajaan bernilai RM8,000 kepada pihak PIBG SMK Sri Aman bagi tujuan mengelola dan mengadakan pelbagai aktiviti oleh pihak persatuan terbabit di sekolah.

Beliau sebelum ini juga sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM25,000 kepada PIBG SMK Sri Aman bagi membina tempat parkir motosikal untuk pelajar yang kini sudah siap dan boleh digunakan.

Sementara itu beliau pada majlis itu menasihati ibu bapa agar memberi sepenuh perhatian terhadap perkembangan pelajaran anak-anak ketika mempunyai waktu terluang di rumah masing-masing.

“Saya memohon ibu bapa agar hadir pada setiap majlis yang melibatkan mereka di sekolah anak-anak kerana kehadiran mereka ini amat penting demi mewujudkan ikatan kerjasama yang erat dengan para guru di sekolah,” katanya.

Turut hadir Pengetua SMK Sri Aman Abang Adrus Abang Junidi, Yang Dipertua PIBG SMK Sri Aman Jilin Itar, penolong kanan, guru dan ibu bapa pelajar sekolah terbabit.