Rakyat Sarawak bertolak ansur, saling percaya

0

Dengan tujuan umum, kepercayaan tinggi sesama mereka menjadikan interaksi sangat akrab

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Suasana hidup rakyat di negeri ini yang bertolak ansur dan saling percaya antara satu sama lain meskipun berbeza menjadikan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama sentiasa kukuh.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, rakyat Sarawak mempunyai satu tujuan yang umum dan kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain menjadikan interaksi sesama mereka sangat akrab.

“Perpaduan ini bukanlah satu paksaan tetapi ia adalah tindakan sukarela antara masyarakat berbilang kaum dan agama untuk hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni.

“Perasaan saling percaya dan yakin antara rakyat yang berbilang kaum ini juga menjadikan Sarawak amnya dan bandar raya Kuching khasnya mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dan menjadi contoh di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Antarabangsa Kuching Mengenai Perpaduan (KIFU) bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Hotel Pullman di sini semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Yayasan 1Malaysia kerana pengisytiharan Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan.

“Selepas mereka membuat kajian dan memenuhi syarat-syarat yang ketat untuk mengisytiharkan bandar raya ini sebagai Bandar Raya Perpaduan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa interaksi yang akrab antara kaum dan keadaan kondusif di dalam bandar raya ini selain mempunyai institusi pengajian tinggi yang bebas daripada unsur perkauman menjadikan Kuching menerima pengiktirafan itu.

“Malah Kuching juga merupakan bandar raya yang membangun tetapi kita masih lagi mempertahankan karektor yang sangat unik ini iaitu adanya kepercayaan di kalangan masyarakatnya,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia dan Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Perpaduan Nasional Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pemilihan Kuching adalah bertepatan dengan ciri dan semangat perpaduan yang dimiliki rakyat di bandar raya ini.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar dalam ucapannya berkata, rakyat di Semenanjung Malaysia perlu mempunyai usaha yang gigih dan berterusan untuk menanam semangat perpaduan ini.

“Kadangkala saya berasa kita di sana tidak melakukannya dengan sempurna tentang semangat perpaduan ini berbanding apa yang telah dilakukan oleh rakyat di negeri ini,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan tetamu kehormat lain.