Sekolah di biar usang

0
TIDAK SELAMAT: Willie melihat dinding bilik darjah di SK Bengoh yang sudah retak.

TIDAK SELAMAT: Willie melihat dinding bilik darjah di SK Bengoh yang sudah retak.

DAIF DAN USANG: Keadaan prasarana di SK Bengoh yang telah dibiarkan terus rosak tanpa diberi peruntukan untuk dibaik pulih.

DAIF DAN USANG: Keadaan prasarana di SK Bengoh yang telah dibiarkan terus rosak tanpa diberi peruntukan untuk dibaik pulih.

SK Bengoh alami pelbagai kerosakan meskipun sering ditinjau pegawai Pejabat Pendidikan untuk penilaian kos pembaikan.

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Meskipun sering kali ditinjau oleh pegawai daripada Pejabat Pendidikan untuk penilaian kos pembaikan, namun Sekolah Kebangsaan (SK) Bengoh yang terletak di Jalan Puncak Borneo, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya ini tetap masih dalam keadaan daif dan usang.

Mempunyai seramai 98 murid dengan 13 guru, sekolah berkenaan yang menyediakan asrama kepada murid dari kampung-kampung yang jauh telah dibiarkan terus rosak tanpa diberi peruntukan.

Menurut Pengerusi PKR Cabang Puncak Borneo (Mambong) Willie Mongin yang telah meninjau sekolah tersebut baru-baru ini, SK Bengoh mengalami masalah bumbung bocor, siling rosak teruk, perabot dan infrastruktur di bilik darjah yang amat usang.

Selain itu, katanya sistem perparitan juga pecah dan dinding bilik darjah turut retak.

Malah beliau menambah, murid dan guru terpaksa menjalani kelas dalam keadaan yang panas dan tidak selesa kerana semua kipas yang sedia ada di dalam bilik darjah rosak.

Lebih memburukkan keadaan, katanya apabila bilik dapur dan perkakasan memasak juga sudah ada yang rosak menyebabkan pihak sekolah menghadapi kesukaran untuk menyediakan makanan kepada murid yang tinggal di asrama.

“Keadaan sekolah yang begitu daif dan usang telah dibiarkan terus rosak tanpa diberi peruntukan walaupun telah dibuat tinjauan oleh pegawai daripada Pejabat Pendidikan beberapa kali untuk penilaian kos pembaikan.

“Saya amat terkilan dan sedih apabila melihat dengan mata sendiri keadaan sekolah yang daif dan usang ini,” katanya.

Justeru, Willie menyeru supaya kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan dapat meluluskan peruntukan dan melaksanakan kerja-kerja pemulihan ke atas sekolah tersebut dengan segera.

“Tidak ada sebab sekolah di Sabah dan Sarawak tidak mendapat peruntukan sedangkan kerajaan persekutuan telah berjanji dalam Rangka Tindakan Pendidikan Kebangsaan 2013-2025 bahawa semua sekolah di Sabah dan Sarawak akan diberi keutamaan untuk kerja-kerja, pembaikan dan dilengkapi dengan segala kemudahan sebelum 2014.

“Ini sudah 2015 namun tiada tanda-tanda pihak kerajaan atau Kementerian Pendidikan akan mempercepatkan pelaksanaan Rangka Tindakan Pendidikan Kebangsaan tersebut,” katanya.