Lelaki maut kereta bertembung lori

0

Oleh Ambrose Rirang//

 

REMUK: Keadaan bahagian hadapan lori dan kereta remuk selepas bertembung dalam kemalangan di Bintulu petang semalam.

REMUK: Keadaan bahagian hadapan lori dan kereta remuk selepas bertembung dalam kemalangan di Bintulu petang semalam.

BINTULU: Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Bintulu-Miri sekitar jam 4.50 petang semalam.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Chai Siaw Phin, 51, dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu menuju ke Miri sebelum bertembung dengan lori terbabit.

Impak cukup kuat daripada pertembungan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terperosok ke bahagian tepi jalan.

TERSEPIT: Anggota bomba bekerja keras mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di celah kereta.

TERSEPIT: Anggota bomba bekerja keras mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di celah kereta.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, pihaknya dengan sebuah jentera dan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat kemalangan itu.

Sejurus sampai, anggota bomba memulakan kerja-kerja menyelamatkan mangsa khususnya mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di celah-celah kenderaan.

“Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit mengeluarkan mayat mangsa dan berjaya dikeluarkan dari kereta terbabit sekitar  jam 5.41 petang,” katanya.

Pihak ambulans mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi pemeriksaan lanjut.

Punca sebenar kemalangan bagaimanapun belum diketahui sementara menunggu siasatan lanjut polis serta pihak berkaitan.