Lelaki pukul teman wanita gara-gara cemburu

0
PENGAJARAN BERGUNA: Dua lelaki bergari yang dipercayai terlibat dalam kes curi dihantar ke HUS untuk menerima rawatan selepas dibelasah orang awam.

PENGAJARAN BERGUNA: Dua lelaki bergari yang dipercayai terlibat dalam kes curi dihantar ke HUS untuk menerima rawatan selepas dibelasah orang awam.

KUCHING: Akibat cemburu apabila jirannya memandang teman wanitanya, seorang pemuda naik angin lalu bertindak memukul gadis tersebut dalam satu kejadian di sebuah rumah di Lorong Foochow di sini.

Menurut sumber, insiden itu dikatakan berlaku sekitar jam 2.30 pagi, kelmarin.

Mangsa dikatakan cedera di bahagian mulut, kepala dan belakang akibat dipukul dan disepak.

Malah, suspek turut mencederakan kakaknya dan anak saudaranya yang cuba meleraikan pergaduhan antara pasangan kekasih tersebut.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Bertindak atas laporan, sepasukan polis kemudian pergi ke alamat tersebut untuk menangkap lelaki yang berusia 22 tahun itu pada hari sama sama.

Polis dikatakan turut merampas sebatang kayu mop yang telah patah.

Suspek dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, seorang mekanik berusia 34 tahun mendakwa dirinya dicederakan oleh seorang kenalan selepas terserempak dengan lelaki tersebut di Jalan Main Bazaar pada Sabtu lepas.

Suspek tiba-tiba bertindak agresif apabila memukul mangsa menggunakan kayu, kemudian dikatakan telah memaksa mangsa mengikutnya ke Kampung Lintang dengan menaiki perahu tambang.

Suspek dikatakan terus menyerang mangsa namun mangsa kemudiannya berjaya melarikan diri.

Difahamkan, suspek turut merampas telefon bimbit mangsa.

Motif kejadian tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes curi di Matang pagi semalam dihantar ke Hospital Umum Sarawak apabila cedera dibelasah orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 24 dan 25 tahun itu tiba di HUS sekitar jam 11.30 pagi untuk menerima rawatan.