Sabah kekurangan bekalan darah

0

KOTA KINABALU: Sabah masih tidak mempunyai bekalan darah yang mencukupi walaupun tabung darah Hospital Queen Elizabeth 1 tersenarai sebagai pengumpul darah kedua terbesar di negara ini selepas Pusat Darah Negara.

Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth 1 Dr Muhamad Yusuf Abd Rani berkata, sekurang-kurangnya lebih 100 pain darah digunakan pada setiap hari yang melibatkan pembedahan, kes kemalangan dan juga penyakit lain seperti Talasemia.

“Walaupun setiap hari kita mengadakan kempen derma darah di seluruh Sabah, namun jumlah ini masih tidak cukup untuk menampung bekalan darah di negeri ini apatah lagi Sabah juga mempunyai rekod pesakit Talasemia tertinggi di negara ini.

“Malah ada satu ketika di tahap kritikal iaitu pada bulan lepas kita terpaksa mengambil bekalan darah dari Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pada kempen derma darah anjuran Monica Beauty & Body Care dan Kota Kinabalu Charitable Foundation di Suria Sabah kelmarin.

Yusuf berkata, orang ramai perlu menyedari bahawa bekalan darah amat diperlukan di negeri ini dan diharapkan lebih ramai yang akan tampil secara sukarela untuk menderma darah.

Bagi usaha menggalakkan lebih ramai orang menderma darah, beliau berkata manfaat perubatan turut diberikan kepada penderma darah yang aktif.

“Mereka yang telah menderma darah lebih lima kali boleh mendapatkan sebarang rawatan di hospital kerajaan secara percuma,” katanya sambil menambah, setiap penderma mempunyai rekod derma darah.

Sempena program derma darah itu, sejumlah 97 dari 110 yang mendaftar berjaya menderma darah untuk disumbangkan kepada Hospital Queen Elizabeth 1.