Sistem perkhidmatan awam kini jauh berubah

0

KENINGAU: Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Sairin Karno berkata, sistem perkhidmatan sebagai penjawat awam masa kini telah jauh berubah sesuai dengan zaman digital yang serba canggih.

Katanya, penjawat awam tidak boleh lagi mengamalkan budaya kerja yang lama kerana segala data dan maklumat berada di hujung jari.

Sebagai contoh katanya, telefon pintar yang canggih membantu mereka melaksanakan tugas harian dan boleh berkomunikasi di seluruh dunia.

“Dengan telefon pintar ini kita boleh menyemak data dan maklumat dengan cepat dan tepat, dan menjadi budaya kerja masa kini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2014 Pejabat Pendidikan Daerah Zon Pedalaman yang diadakan di Dewan SJKC Yuk Kong, di sini pada Sabtu lalu.

Katanya, sebagai penjawat awam mereka juga terikat dengan etika kerja dan perintah am dengan didedahkan kepada perkara yang boleh mahupun yang dilarang.

Dalam hubungan itu, Sairin meminta agar mereka tidak sewenang-wenang mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Janganlah menimbulkan sensitiviti kaum dan sentimen kenegerian. Kita haruslah secara sedar mengamalkan cara hidup bersatu padu sebagai rakyat Malaysia dan secara sedar juga bahawa rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama sentiasa berpegang kepada prinsip Rukun Negara dan konsep 1Malaysia.

“Saya yakin dan percaya negara kita Malaysia yang tercinta ini akan terus maju untuk mencapai Wawasan 2020,” katanya.

Sairin yang juga ADUN Liawan berkata, hidup dalam negara demokrasi rakyat sedar bahawa setiap lima tahun akan datang lagi hari mengundi dan sebagai penjawat awam mereka kena ingat tidak boleh terlibat dalam kempen atau rusuhan.

Katanya, sebagai penjawat awam mereka tidak boleh terlibat dalam sebarang perhimpunan haram, tidak terlibat dalam sebarang pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti anti kerajaan.

“Kita sebagai penjawat awam perlu melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Kita juga terikat dengan etika dan perlu menjadi ‘role model’ kepada rakyat di negara ini. Sebagai penjawat awam di Kementerian Pendidikan Malaysia, kita perlu menjadi role model kepada sektor perkhidmatan awam lain di negara ini.

“Ini adalah kerana kita mendidik seluruh rakyat jelata yang bergelar penduduk Malaysia. Siapa penduduk Malaysia yang tidak melalui sistem persekolahan atau sistem pendidikan?

“Kerajaan hari ini adalah acuan sistem pendidikan masa silam dan kita semua ada saham untuk membentuk generasi akan datang, dan jika kita gagal menjadi penjawat awam yang cemerlang bermakna kita gagal dalam membentuk generasi baru yang cemerlang,” katanya.

Sairin berharap anugerah yang diterima akan memberi suntikan semangat dan motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

Seramai 486 orang dari Pejabat Pendidikan Daerah Keningau, Tenom, Tambunan dan Nabawan menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Sairin.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Masly Wahip, Pegawai Pendidikan Daerah Tambunan Haji Kaipin Haji Rusmin, Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan Saibeh Abdul Sani dan Pegawai Pendidikan Daerah Tenom Azlan Dimon.