Wanita UMNO putuskan usul mohon lantikan guru besar, pengetua dari Sabah

0

KOTA KINABALU: Wanita UMNO Bahagian Sepanggar mengemukakan usul meminta kerajaan melantik jawatan guru besar mahupun pengetua sekolah dari kalangan rakyat di negeri ini.

Keputusan berkenaan dibincangkan bersama menerusi Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sepanggar, di sini kelmarin.

Ketua Wanita UMNO Sepanggar Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, pelaksanaan secara menyeluruh perlu diteliti semua oleh pihak yang berwajib.

“Ramai rakyat di Sabah layak untuk mengisi kekosongan jawatan ini tetapi mereka terikat dengan dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang mewajibkan warganya mengikut kursus NPQEL sedangkan usia perkhidmatan mereka hanya kurang dari 6 hingga 10 tahun lagi.

“Disebabkan kursus itu juga mengambil masa selama lima bulan mengakibatkan guru-guru semakin kurang berminat kerana kekangan masa keluarga dan kerjaya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sepanggar, di sini kelmarin.

Jainab berkata, tugas berkenaan juga perlu dipegang oleh rakyat Sabah sendiri kerana mereka lebih memahami budaya dan pemikiran pelbagai etnik di negeri ini.

Dalam pada itu, mesyuarat berkenaaan turut membincangkan usul berkaitan usaha mempercepatkan penyelarasan elaun perumahan dan kakitangan awam luar bandar antara negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, cadangan usul itu bertujuan membela nasib penjawat awam yang ditempatkan di kawasan luar bandar Sabah di samping merapatkan jurang perbezaan antara guru.

Selain itu katanya, Wanita UMNO juga mencadangkan agar kerajaan menerusi kementerian dan agensi berkaitan menyelaras penetapan harga barang di Sabah dan Semenajung Malaysia.

Katanya, ia berikutan penetapan harga barang di Sabah lebih mahal berbanding di tempat lain sehingga menyebabkan rakyat negeri ini terbeban.

Di samping itu, Jainab bersama barisan Wanita UMNO  Sepanggar menyatakan sokongan padu terhadap pucuk pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Turut hadir, Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Zahari.